Tuduhan Meminta ‘Habuan’? Mahdzir Tegas Telah Nafikan Dalam Mahkamah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid hairan dengan kenyataan seorang saksi di dalam kes perbicaraan yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Bahkan katanya, beliau telah menafikan tuduhan-tuduhan itu semasa dipanggil sebagai saksi dan memberi keterangan di mahkamah dalam kes yang sama sebelum ini.

“Jujur saya kongsikan yang saya terkilan dengan penulisan-penulisan yang saya baca. Rata-rata kelihatan seperti cubaan menjejaskan dan memburukkan imej dan reputasi saya di mata rakyat.

“Penulisan-penulisan ini telah memberi kesan tidak elok kepada pekerjaan-pekerjaan yang diamanahkan kepada saya,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap mengulas mengenai laporan-laporan berita berkenaan keterangan salah seorang saksi kes Rosmah iaitu Rayyan Radzwill Abdullah yang diberikan semalam.

Dilaporkan, laporan-laporan tersebut menyebut Rayyan bersetuju kepada soalan-soalan peguam bahawa Mahdzir telah meminta ‘habuan’ sebanyak RM60 juta daripada syarikat Jepak Holdings melalui individu bernama Mohd Fuad Yasin dan satu perjanjian bertulis telah disediakan.

Ulas Mahdzir lagi, beliau sedang berhubung dengan peguamnya untuk mendapatkan nasihat guaman dan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya untuk menjaga nama baik dan kepentingannya.

“Saya tidak boleh putuskan sebarang tindakan undang-undang lagi kerana saya tidak tahu apa dikatakan oleh saudara Rayyan di mahkamah dan saya telah minta peguam saya untuk memohon mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah sebelum saya komen dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini,” katanya.

Justeru beliau menyeru kepada orang ramai dan pengamal media untuk tidak membuat andaian dan tanggapan berdasarkan hanya daripada sumber yang terhad.

“Saya yakin fungsi Mahkamah adalah untuk menentukan suatu fakta itu sah dan betul, berkenaan apa jua keterangan yang diberikan oleh mana-mana saksi di dalam perbicaraan.

“Semua pihak, termasuk saya sendiri hendaklah menghormati fungsi tersebut dan tidak mendahului mahkamah dalam hal ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.