UMNO Tidak Sertai Perikatan Nasional, Perkasakan Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya yang juga Pengerusi BN, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan dibeberapa negeri tertentu.

“ YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN. Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online