Tidak Sertai Perikatan Nasional Bukan Keluar Daripada Kerajaan – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Duski menegaskan bahawa UMNO hanya buat keputusan untuk tidak sertai Perikatan Nasional (belum berdaftar) sebagai salah sebuah komponen bukan keluar daripada kerajaan.

Beliau berkata demikian sebagai memberi penjelasan susulan kekeliruan ekoran kenyataan Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi tengahari tadi.

“Memandangkan PPBM juga sudah nyatakan hasrat untuk sertai Muafakat Nasional, Presiden UMNO telah mencadangkan agar Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional UMNO-PAS dapat memperhalusi dan mempertimbangkannya.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional, UMNO dan PAS sepakat untuk terus memperkukuhkan dan memperkasa Muafakat Nasional,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut, hari ini.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Kata Zahid yang juga Pengerusi BN, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan dibeberapa negeri tertentu.

“YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN. Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi.”

Jelas Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.