Sokongan Ahli Parlimen UMNO Kepada Kerajaan Hari Ini Masih Kekal – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan memaklumkan bahawa sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan hari ini, masih kekal.

Namun katanya, UMNO sebagai parti tidak akan menyertai Perikatan Nasional sebagai ahli komponen tetapi akan terus memperkasakan Muafakat Nasional.

“Merujuk cerita sensasi yang baru tular, ini rumusan apa yang disebut Presiden dalam sidang media beliau. Sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan hari ini, masih kekal.

“Namun UMNO sebagai parti tidak akan menyertai Perikatan Nasional sebagai ahli komponen tetapi sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional bersama PAS,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Kata Zahid yang juga Pengerusi BN, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan dibeberapa negeri tertentu.

“ YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN. Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi.”

Jelas Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.