PRK DUN Slim: BN Tak Ambil Mudah Cabaran, Akan Pastikan Kemenangan Besar – Zaidi

SLIM RIVER, 30 Julai – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil mudah dalam berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Katanya, walaupun akan berdepan dengan pelbagai cabaran, pihaknya akan memastikan kemenangan besar diperolehi oleh parti.

“Pertamanya, untuk memastikan kemenangan dan bukan sekadar kemenangan tetapi kita hendakkan kemenangan yang besar. Sebab ini menjadi kayu ukur kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Jadi, kalau di sini kita menang tipis dan sebagainya, itu akan memberikan anggapan masyarakat di luar sana bagaimana parti kita akan memerintah untuk masa akan datang.

“Yang kedua, adalah bagaimana untuk saya mendapat kepercayaan rakan-rakan kepimpinan bahagian dan masyarakat setempat untuk saya memimpin bahagian dan juga memimpin jentera pilihan raya. Dan itu bukan mudah dalam masa yang singkat ini untuk saya bertemu mereka, berbincang mendapatkan input. Berkat kerjasama semua Insya-Allah perkara tersebut dapat diatasi,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung.

Pada Khamis minggu lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK di kawasan tersebut akan diadakan pada 29 Ogos dan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

Tambah Zaidi yang juga Pengarah Operasi PRK DUN Slim, antara cabaran lain adalah berkaitan komposisi pengundi yang majoritinya tergolong dalam pengundi muda dan pertengahan umur.

“Mereka ini kita kena kenalpasti di mana, boleh dihubungi dan tanyakan dari sudut pandang mereka. Kemudian kita kena bawa mereka untuk keluar mengundi pada hari berkenaan.

“Itu memang cabaran kerana undi muda ramai sembilan ribu lebih, bukan jumlah yang sedikit sebab kita ada 23 ribu pengundi, lebih kurang 41 peratus pengundi di bawah 40 tahun. Pengundi di bawah 60 tahun tujuh ribu lebih, bakinya atas 60 tahun.

“Jadi pengundi muda dan generasi pertengahan memang ramai di sini. Ini bukan satu yang mudah untuk kita pastikan mereka turun mengundi,” katanya.

Berhubung dengan kerjasama dengan PAS, Zaidi berkata ia amat positif.

“Kita sudah mengadakan pertemuan bersama dengan mereka dan Alhamdulillah positif dari segi kerjasama walaupun kerjasama telah dibuat awal oleh Allahyarham.

“Saya juga telah berhubung dengan pihak PAS, Alhamdulillah nampak mereka positif dan mereka menyatakan komitmen membantu UMNO dan memberi kerjasama dalam gerak kerja kempen dan jentera.

“Kita akan ada lagi pertemuan untuk perincikan lagi perbincangan dan gerak kerja berkenaan dengan khidmat penceramah, jentera untuk meraih undi mereka tiada masalah untuk membantu kita,” jelas bekas Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) itu lagi.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Zaidi turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti baik di negeri mahupun di pusat atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengemudikan Bahagian Tanjung Malim dan menjadi Pengarah Operasi di PRK DUN Slim.

“Ini kepercayaan yang amat berat, tanggungjawab yang amat besar diberikan kepada saya apatah lagi dalam suasana kita masih sedih kehilangan Datuk Khusairi.

“Untuk saya memimpin UMNO bahagian dan operasi pilihan raya ini dengan bagaimana dengan kegemilangan yang dicapai Datuk Khusairi sebelum ini memang satu perkara yang mencabar. Sebab saya kena buktikan perkara yang walaupun tidak sebaik dengan Datuk Khusairi tetapi hendaklah setanding dalam konteks untuk memenangi pilihan raya,” katanya yang percaya atas sokongan dan dokongan yang kuat dari semua pihak akan memberikannya kekuatan untuk memimpin. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.