Kes SRC : UMNO Dukung Prinsip Kehakiman Bebas… Jangan Ada Pihak Bersorak Hari Ini Bertukar Nada Kemudian


KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata keputusan kes SRC International di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu mengundang pelbagai reaksi.

Tentunya sebagai manusia biasa jelas beliau semua pihak tidak dapat mengelak dari kesan emosi dalam kes berprofil tinggi seperti ini.

Dalam situasi itu, Presiden UMNO tegasnya tampil mengeluarkan kenyataan yang cukup tenang dan bijaksana iaitu semangat setiakawan dengan rakan politik Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional  (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dipertahankan berasaskan prinsip keikhlasan.

Namun tegas beliau beberapa fakta boleh dirumuskan setakat ini.

1.UMNO menghormati keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, tidak seperti pihak-pihak lain yang mempertikaikan institusi kehakiman negara apabila keputusan tidak berpihak kepada pemimpin mereka.

2. Meskipun disabit kesalahan di Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Najib masih ada ruang dan hak untuk melalui proses perundangan yakni rayuan.

3. Prinsip mendukung institusi kehakiman bebas ini terpakai di setiap peringkat. Kelak, jika ada pemimpin parti lain yang disabit kesalahan, diharap penyokong parti tersebut yang mungkin bersorak hari ini tidak menukar nada pula.

Hatta, kelak jika Mahkamah Rayuan mengubah keputusan semalam, diharap kelompok sama menghormati keputusan tersebut.

4. Atas prinsip keadilan yang sama, tidak wajar wujud sebarang fenomena pendakwaan terpilih. Siasatan terhadap individu-individu yang disyaki melakukan kesalahan perlu diteruskan, dipercepat dan jika ada merit, melalui proses pendakwaan dan pengadilan – tidak kira keahlian atau kecenderungan politik.

Justeru tegas Shahril UMNO akan terus memajukan agendanya dengan kebijaksanaan yang terbina dari segenap pengalaman tanpa menyampingkan jasa mana-mana pemimpin.

Sebarang keputusan politik tambah beliau akan ditentukan berlandaskan pertimbangan yang terbaik untuk agama, bangsa, negara dan maruah parti. –UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.