PRK DUN Slim Dan Chini Ada Sedikit Persamaan, Semua Undi Cukup Penting – Ahmad  Maslan

TANJUNG MALIM, 29 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mempunyai sedikit persamaan dengan PRK DUN Chini.

Menurut beliau DUN Slim mempunyai kawasan Felda dan juga perkampungan tradisi serta kalangan pengundi yang pelbagai kaum dan sudah pasti tentunya segala gerak kerja akan berjalan seperti biasa dan apapun yang utama adalah ‘stamina’ kerana dalam mana-mana PRK ianya memerlukan komitmen yang cukup tinggi.

“DUN Slim mempunyai Pusat Daerah Mengundi (PDM) di dalam kawasan Felda. Sama juga sepertimana di DUN Chini baru-baru ini yang mempunyai kawasan Felda serta kawasan kampung tradisi termasuklah kawasan pekan dan sebagainya lagi.

“Undi peneroka penting, undi kampung tradisi penting, undi masyarakat Cina penting, orang India penting, Orang Asli penting dan semua undi adalah penting kepada kita dan mengharapkan segala undi diperolehi kelak daripada pelbagai tempat dan pelbagai kaum. Ini yang kita tekankan dan insya-Allah kita akan terus berusaha pada PRK ini,” katanya.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah PDM termasuk mengadakan pertemuan singkat bersama penduduk setempat.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah pihakya akan bekerjasama dengan perhubungan negeri serta bahagian dan Cawangan dalam usaha melicinkan segala gerak kerja kelak dan insya Allah segalanya akan berjalan lancar.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). –  UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.