Najib Tetap Ahli Parlimen BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tetap menjadi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Pekan walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan Najib bersalah berkaitan kes SRC Internasional.

Jelas beliau, proses rayuan kes akan dikemukakan secepat mungkin oleh barisan peguam Najib dan selagi kes ini belum selesai sepenuhnya selagi itulah Najib masih Ahli Parlimen Pekan.

“Saya berasa yakin dengan barisan peguam Najib. Walaupun beliau telah diputuskan bersalah di Mahkamah Tinggi tetapi kita masih ada mahkamah rayuan maka sehingga itu Najib masih Ahli Parlimen BN, ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada UMNO-Online di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.