Kes Najib: Walau Sedih Keputusan Mahkamah, Semua Pihak Harus Terus Fokus Bantu Rakyat – Farid

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menzahirkan rasa sedih atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (MTKL) semalam terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor berkata, Pemuda Negeri akur kepada proses undang-undang dan percaya bahawa pasukan pembelaan Najib Razak memiliki hujah yang kuat dan cukup bersedia bagi menghadapi proses pembelaan di Mahkamah Rayuan kelak.

“Walaupun tiada merit dari segi undang-undang, kenyataan sumpah Najib bahawa beliau langsung tidak mengetahui sumber wang tersebut datangnya dari SRC International adalah sesuatu yang serius dan memiliki bebanan yang besar. Insha Allah… di akhir proses undang-undang ini nanti, keadilan akan tertegak untuk semua pihak.

“Hati dan jiwa rakyat perlu dimenangi supaya kita berupaya memastikan pembelaan yang sewajarnya dapat diberikan kepada setiap individu di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Farid lagi, beliau berharap agar akar umbi UMNO berlapang dada, berfikiran terbuka dengan keputusan tersebut dan terus kekal serta fokus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Pemuda UMNO Pahang menyeru ahli-ahli kami supaya kekal fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat kerana ternyata rakyat senantiasa menantikan sentuhan kita baik ketika menjadi kerajaan, pembangkang mahupun sebahagian daripada kerajaan seperti hari ini.

“Kami berdoa agar Najib Razak terus diberikan kesihatan,ketenangan dan kekuatan hati bagi menghadapi ujian ini,” ujarnya – UMNO ONLINE.

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.