Kerajaan Warisan Runtuh… Musa Aman Dakwa Dapat Bentuk Gabungan Baru Di Sabah

KOTA KINABALU, 29 Julai – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman hari ini memaklumkan bahawa satu gabungan baharu telah dibentuk bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dari pelbagai parti.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Nardin Awang telah membuat Kunjungan Hormat kepada Tuan Yang Terutama pagi tadi untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

“Tuan Yang Terutama telah meminta saya mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka.

“Saya telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai,” katanya.

Sambil menyatakan ia sebagai langkah ke hadapan, beliau menjelaskan kerajaan gabungan baharu akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir pada saat ini akibat kelemahan Kerajaan Parti Warisan termasuk dalam mengatasi penularan wabak COVID-19.

“Bersama dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong saya. Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya dari semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.