Zahid Seru Ahli/Penyokong UMNO Bertenang, Akur Keputusan Mahkamah

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli serta penyokong UMNO bertenang serta akur dengan keputusan mahkamah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ekoran keputusan mahkamah berkaitan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Kita akur dengan keputusan mahkamah. Saya menyeru semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli parti serta penyokong bertenang. Kita percaya Datuk Seri Najib masih ada ruang untuk mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara.

“Saya turut bersedih dengan keputusan ini dan yakin Datuk Seri Najib seorang yang cekal dan tabah,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bersama pemimpin UMNO/BN yang lain turut hadir memberikan sokongan kepada Najib di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan Najib bersalah setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap Najib. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.