Rakyat Tolak Kempen Fitnah, Muak Dakyah PH – Zolkafly

IPOH, 28 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yakin rakyat menolak sebarang kempen fitnah dan serangan peribadi yang dimainkan pihak pembangkang terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim nanti.

Katanya, rakyat kini semakin menaruh harapan kepada BN, Muakafat Nasional dan kerajaan sekarang ini setelah diperdayakan oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Pada pandangan saya sebenarnya walaupun ada kempen dan mungkin PH akan terlibat dalam PRK Slim, mungkin mereka akan buat fitnah dan sebagainya tetapi saya penuh yakin bahawa pengundi yang ada sekarang ini telah mempunyai pendirian, pandangan sendiri dan majoritinya bahawa rakyat pada hari ini memang berkehendakkan kepada BN, UMNO dan Muafakat Nasional.

“Jadi walaupun akan ada kempen yang akan memburukkan calon, UMNO, BN atau Muafakat Nasional saya penuh yakin pengundi ada pemikiran yang bijaksana dan suasana pada masa sekarang ini memihak kepada kita. Dan saya penuh yakin bahawa siapa sahaja calon yang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti Insya-Allah dia akan memenangi dengan majoriti yang besar apatah lagi dengan sokongan daripada Muafakat Nasional, UMNO dan Juga PAS.

“Jadi tidak timbul pengundi-pengundi akan terpengaruh, terperdaya dengan fitnah-fitnah, cukuplah dalam 22 bulan zaman PH memfitnah UMNO dan BN,” ujar ADUN Lintang itu kepada UMNO Online.

Tambahnya, begitu juga dengan anak muda yang kini tidak mahu lagi tertipu dengan janji-janji PH dan muak dengan dakyah politik mereka.

“Anak muda banyak yang menyatakan mereka tertipu, terpedaya dengan dakyah-dakyah daripada PH dan mereka kata cukuplah sekali anak muda ditipu oleh PH.

“Pilihan raya umum pada kali ini mereka pastikan undi mereka adalah untuk kita, Muafakat Nasional ataupun Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Berhubung dengan PRK DUN Slim, Zolkafly berkata jentera Penerangan negeri telah bersedia menghadapinya dengan kekuatan yang ada.

“Dari segi kekuatan dan kemampuan komunikasi dan media ini memang kita telah bersedia dan apa yang telah kita gariskan memang telah mencukupi. Dan kita ada kekuatan untuk mengadakan majlis penerangan dan komunikasi khususnya dalam PRK Slim nanti,” katanya.

Beliau juga menetapkan sekurang-kurangnya terdapat 60 sesi ceramah dalam skala kecil sebelum Hari Penamaan Calon, tidak termasuk skala sederhana dan besar.

Begitu juga katanya dengan menggerakkan semua jentera dan kekuatan yang ada bagi memastikan kemenangan BN di PRK DUN tersebut.

PRK DUN Slim diadakan berikutan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK di kawasan tersebut akan diadakan pada 29 Ogos dan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.