Presiden Pan Jangan Biadap – MN Gombak


GOMBAK, 28 Julai – Muafakat Nasional Gombak mengecam keras kebiadapan dan keceluparan Presiden Parti Amanah Negara (Pan) Mohamad Sabu yang menggelarkan Rasulullah SAW sebagai pelarian dalam sesi perbahasan di Parlimen semalam.

Dalam satu kenyataan bersama Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omar Din dan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Salehuddin Mohd Nasir berkata gelaran yang diberikan Ahli Parlimen Kota Raja itu kepada Rasulullah SAW merupakan suatu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Mohamad Sabu perlu sedar bahawa perpindahan Baginda SAW dari Makkah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah adalah perintah Allah SWT dan merupakan peristiwa besar yang membawa kepada perkembangan dan kemenangan dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda SAW.

“Mohamad Sabu juga perlu sedar bahawa penerimaan penduduk Madinah Al-Munawarrah terhadap kedatangan Baginda SAW adalah atas sifatnya sebagai Rasulullah dan pemimpin kepada umat Islam, bukannya sebagai pelarian seperti yang telah diungkapkan,” tambah kenyataan itu lagi, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muafakat Nasional Gombak mendesak Mohamad Sabu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam atas penghinaan beliau terhadap Baginda SAW. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.