Beri Peluang Datuk Seri Najib Bersihkan Nama, Kita Bukan Macam PH – Zahida

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Hari ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak berpihak kepada bekas perdana menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, keputusan ini amat menyedihkan malah ramai para penyokong dan orang-orang UMNO turut kecewa dengan keputusan hakim hari ini, tetapi itulah keputusan mahkamah yang patut kita hormati.

“Seperti apa yang sering disebut oleh ‘BossKu’ bahawa beliau mahu membersihkan namanya dan dengan tegas tidak mahu kesnya digugurkan seperti apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH pada kes skandal terowong bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika mereka berkuasa.

“Proses keadilan masih berjalan, masih ada mahkamah rayuan dengan panel tiga hakim, dan mahkamah persekutuan dengan lima hingga tujuh hakim yang sudah pasti akan buat keputusan lebih adil berlandaskan undang-undang.

“Kita tidak seharusnya menghukum beliau selagi belum selesai diadili di dua lagi mahkamah tersebut,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.

Sehubungan itu beliau meminta kepada para penyokong untuk bertenang dan berdoa agar Datuk Seri Najib Razak terus diberi kekuatan bagi melawan segala kezaliman pertuduhan politik terhadap dirinya.

Hari ini Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan. – UMNO ONLINE