Pemuda UMNO Gunakan Sepenuhnya Ruang Media Sosial Di PRK DUN Slim – Amin

 

TANJUNG MALIM, 27 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amin Othman berkata pihaknya akan menggunakan sepenuhnya ruang media sosial di dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sama seperti Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan sebelumnya.

Katanya, selain berjumpa secara bersemuka, kempen secara maya tersebut merupakan kaedah yang berkesan mendekati anak muda apatah lagi negara masih di dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun lalu hingga 31 Ogos nanti.

“’Trend’ gerak kerja kempen bukan hanya PKP ini sahaja. Kalau ikutkan dalam siri PRU pun kita lebih kepada media sosial. Kalau kita tengok anak muda di mana pun dia akan pegang ‘smart phone’. Kalau dalam PRU kita dah mula dengan media sosial, apatah lagi dengan PRK terikat dengan PKP.

“Media sosial kita akan gerakkan dengan seluas-luasnya. Saya dah maklumkan kepada Pemuda-pemuda Cawangan yang mana ada dalam semua grup dalam DUN Slim tolong sampaikan maklumat BN tentang kenapa kita perlu undi BN selain daripada kita mendekati dari hati ke hati, kita akan memperluaskan dengan saluran media sosial yang kita ada,” ujarnya kepada UMNO Online.

PRK DUN Slim diadakan berikutan penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK di kawasan tersebut akan diadakan pada 29 Ogos dan hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

Seterusnya ulas Amin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, pihaknya juga telah membuat perjumpaan dengan semua Ketua Pemuda UMNO Cawangan di dalam bahagiannya sebagai persiapan membantu jentera parti.

Begitu juga Amin amat menghargai komitmen Pemuda PAS yang telah menyatakan kesediaan membantu Barisan Nasional (BN) di dalam kempen PRK nanti.

“Jadi komitmen dengan Pemuda PAS ini sudah jumpa dengan Pemuda UMNO dua kali sebelum ini, menyatakan kesediaan Pemuda PAS untuk membantu sehabis baik PRK kali ini,” ujarnya.

Berhubung dengan pengundi generasi kedua Felda, Amin menganggarkan 60 peratus dari kalangan mereka berada di luar kawasan dan pihaknya akan mendampingi golongan terbabit serta menerangkan isu-isu yang berkaitan.

“Tentang isu generasi kedua, kita akan cuba sehabis baik. Antara isu besarnya adalah perumahan generasi kedua Felda yang sehingga hari ini belum siap di Gugusan Besout ini tetapi geraknya sudah ada ke 80 hingga 90 peratus walaupun sebelum ini tertangguh.

“Pergerakan untuk pembinaan perumahan generasi kedua itu bagi saya ia digerakkan bilamana kerajaan Perikatan Nasional ini diwujudkan, waktu Pakatan Harapan agak perlahan,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.