Goldman Sachs Setuju Bayar AS$3.9 Bilion Bukti Kerajaan Utamakan Kepentingan Negara

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, telah memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah mencapai satu persetujuan dengan Goldman Sachs yang secara keseluruhannya akan menyaksikan wang dalam anggaran USD 3.9 Billion dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengumuman ini sangat dialu-alukan dan membuktikan bahawa kepentingan negara dalam menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terus menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional.

“Kita mengucapkan syabas kepada YB Menteri Kewangan dan Peguam Negara serta semua pegawai kerajaan yang terlibat dalam ikhtiar mengembalikan semula dana negara yang hilang,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut.
Ujarnya, usaha ini mesti digiatkan lagi kerana masih banyak lagi dana negara yang mesti dikembalikan kepada perbedaharaan negara

“Keputusan tepat Peguam Negara dalam penyelesaian luar mahkamah seperti ini juga berupaya menjimatkan kos,masa dan tenaga semua pihak terutamanya apabila negara sangat memerlukan dana dalam menampani kegawatan ekonomi sekarang.

“Semoga segala usaha kerajaan dalam perkara ini terus mendapat kerjasama antarabangsa dan berjaya sepenuhnya,” katanya lagi.

Dilaporkan, Jumaat lalu Tengku Zafrul memaklumkan bayaran ini bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon membabitkan skandal 1MDB.

Katanya lagi jumlah penyelesaian dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) lebih dari AS$4.5 bilion (RM19.14 bilion) akan dikembalikan kepada kerajaan selain kerajaan terus komited untuk mendapatkan semula aset lain yang masih belum dikembalikan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.