Pentingnya Membiasakan Diri Dengan Strategi Digital – Shahril

 

IPOH, 26 Julai – Tanpa menafikan kepentingan penyaluran maklumat secara konvensional, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan strategi digital yang berkait rapat dengan media sosial kini menjadi pilihan utama cara penyaluran dan penerimaan maklumat.

Oleh kerana itu ujarnya, semua pihak di dalam parti perlu sedar dengan realiti masa kini betapa pentingnya membiasakan diri dengan strategi digital.

“Saya nampak strategi digital ini nak kena biasakan ialah kita, maknanya kita dalam UMNO dan pengamal politik dalam tanah air kena biasakan dengan normal baharu di mana realitinya ramai anak muda dan pengundi sama ada disebabkan gaya hidup mereka atau disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akan banyak menerima maklumat dan menghantar maklumat melalui saluran digital.

“Tak bermaksud program tradisi, ceramah dan sebagainya tidak relevan, sudah tentu ada segmen yang masih memerlukan sentuhan sebegitu, tetapi secara keseluruhannya bila kita lihat di Chini (ketika pilihan raya kecil), PKP dan nanti di Slim saya andaikan strategi digital inilah yang akan menjadi pilihan utama cara kita nak sampaikan maklumat dan hujah kita kepada pengundi.

“Jadi yang hendak dibiasakan adalah kita sebab itu saya turun awal ke Tanjung Malim, ke Ipoh berbincang untuk kita pastikan, dapatkan strategi paling tepat, sesuai dengan sosiobudaya dan sosiopolitik tempatan,” ujarnya kepada UMNO Online ketika ditemui di Pejabat UMNO Negeri Perak di sini, petang Sabtu.

Sebelum itu, Shahril menghadiri mesyuarat penyelarasan penerangan bersama Penerangan UMNO Negeri Perak yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zolkafly Harun, sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Terdahulu, di Slim River, Shahril turut bertemu dengan jentera Penerangan UMNO Bahagian Tanjung Malim.

Seterusnya, Shahril juga mengulas mengenai perancangan jentera Penerangan bagi menghadapi PRK DUN Slim nanti.

“Pertama, kita kena patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) yang akan dikeluarkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang mana kita tak tahu perinciannya tetapi mungkin kita dapat gambarannya lebih kurang serupa dengan Chini.

“Jadi strategi kita ceramah atau sesi perjumpaan dengan pengundi dengan lebih kecil daripada biasa, tetapi dalam masa yang sama kita akan susun juga ceramah-ceramah yang lebih besar, kita bawa turun pemimpin-pemimpin besar kita dan juga Muafakat Nasional, sahabat kita dari PAS Insya-Allah akan bantu juga.

“Jadi perkata itu kita akan laksanakan pada masa yang sama strategi digital kita kena rancak dari segi produk infografik kita, dari segi rakaman video, editing video supaya menarik kepada pengundi itulah yang hendak kita fikir dalam minggu-minggu yang mendatang sebelum penamaan calon,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.