Hayati Asas Tujuan Penubuhan UMNO, Jangan Khianati Perjuangan Parti – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 26 Julai – Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya sentiasa menghayati asas dan tujuan penubuhan parti serta memastikan kesinambungan perjuangannya.

Beliau berkata ahli-ahli UMNO perlu bergantung kepada parti yang mempunyai kekuatan sendiri dan berdiri teguh demi semangat nasionalisme dan atas nama agama, bangsa dan negara.

“UMNO bukan hanya membela orang Melayu dan Bumiputera sahaja tapi kaum lain juga mendapat manfaat daripada kesinambungan perjuangan UMNO,” katanya yang juga Bendahari UMNO.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan UMNO Cawangan Matahari, semalam.

“Kenapa UMNO ditubuhkan mesti difahami oleh ahli-ahli UMNO dan setiap ahli perlu tahu… bukannya menyokong atas individu atau atas ada kepentingan peribadi, kita perlu hayati perjuangannya yang mahu memperjuangkan agama Islam, mempertahankan bangsa dan tanah air kita.

“Jangan lupa tak boleh khianat UMNO kerana parti ini banyak berjasa dan perjuangan UMNO pertahankan agama, bangsa dan negara sangat penting namun masih ada orang mahu runtuhkan parti yang banyak berjasa ini,” katanya.

“Apa telah terjadi apabila ada antara ahli-ahli UMNO bersifat egois… maka bangsa Melayu telah berpecah kepada lima sehingga melemahkan UMNO itu sendiri.”

Sehubungan itu, beliau mengajak anggota parti untuk menjadikan sejarah semalam sebagai tauladan paling berharga bagi menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.

“Kita telah diuji, parti kita dikhianati oleh segelintir pihak tertentu dan kita tewas, kita hilang kuasa namun ia adalah satu pengajaran yang sangat berharga untuk kita kembali kukuhkan UMNO dan bangkit membina semula apa yang telah hilang sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Matahari mengadakan persidangan di rumahnya, di Presint 10 dengan kehadiran ahli-ahlinya berharap agar tidak ada lagi anggota parti yang khianat kepada UMNO.

“Kita laksanakan tanggungjawab dalam persidangan ini adalah untuk kesinambungan perjuangan UMNO. Alhamdulillah ia berjalan lancar.

“Ahli Cawangan adalah anggota akar umbi yang mesti kekalkan perpaduan dan kesatuan perlu diperkukuh walaupun berbagai ancaman yang sedang dihadapi. Kita mesti teruskan perjuangan dengan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ untuk ‘dulu, kini, selamanya’,” katanya lagi.

Dilaporkan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh mesyuarat Cawangan UMNO, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri( yang belum bermesyuarat) ialah pada 15 Julai hingga 31 Ogos sementara Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah pada 15 Sept hingga 31 Okt. – UMNOOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.