2,897 Individu Perlu Jalani Saringan Kedua, Jika Gagal Akan Didakwa – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, 2,897 individu yang masih gagal menjalani saringan kedua COVID-19 diberi tempoh dua hari bermula hari ini untuk membuat pemeriksaan dengan menghubungi pihak Pejabat Kesihatan terdekat, sekiranya mereka masih berdegil, mereka akan ditangkap dan didakwa di Mahkamah.

Jelas beliau, tidak ada lagi kompromi kerana kedegilan mereka ini membahayakan nyawa orang lain.

“Kerajaan memandang serius terhadap kes-kes peningkatan COVID-19 ini. Selama empat hari ‘double digits’ berlaku dan di Kuching saya difahamkan hari ini sudah lebih daripada 40 kes dan ini bermakna berada dalam kategori merah.

“Saya nak maklumkan juga, seramai 2,897 individu yang dikuarintin di rumah gagal untuk membuat pemeriksaan kali kedua pada hari 13. Kita memandang serius perkara ini sebab kes lepas hari 13 ada yang positif. Kita mempunyai nama dan alamat mereka.

“Kita beri tempoh dua hari, hari ini dan esok untuk buat pemeriksaan kali ke dua. Jika gagal, polis akan menahan dan reman dan hadap ke mahkamah. Tidak ada lagi kompromi atau amaran dan nasihat. Sebab mereka boleh bahayakan nyawa orang lain, kalau degil juga, Isnin ini polis akan tangkap,” ujar beliau dalam satu sidang media khas di WTC hari ini.

Tambah Ismail, jawatankuasa khas juga telah bersetuju untuk memperketatkan kembali SOP yang sebelum ini diberi kelonggaran.

“Dari segi kebarangkalian jangkitan, ia semakin meningkat. Hari ini kita telah mengadakan mesyuarat khas untuk bincangkan beberapa perkara lebih terperinci. Dalam mesyuarat khas tadi kita telah bersetuju untuk memperketatkan SOP yang sebelum ini kita beri kelonggaran.

“Esok kita telah arahkan jawatankuasa teknikal berbincang terutama meneliti SOP tentang sambutan Hari Raya Aidil Adha begitu juga tentang kru kapal kerana kes import kedua terbesar adalah melalui kes melibatkan kelasi kapal.

“Jadi, mereka akan berbincang esok pagi dan bentang kepada jawatankuasa khas menteri pada hari Isnin nanti untuk kita putuskan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.