Walau Sedang Bersedih, Mesyuarat Cawangan Tg Malim Tetap Dilaksana Penuh Semangat – Zaidi

TANJUNG MALIM, 23 Julai – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berkata, walaupun akar umbi di bahagian tersebut sedang berduka ekoran kehilangan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang meninggal dunia baru-baru ini namun ia sedikitpun tidak akan menggugat semangat ahli untuk terus berbakti kepada parti keramat ini.

Jelas beliau, mesyuarat Cawangan yang sedang berlangsung ini juga akan digunakan sebagai platform untuk memperkukuhkan jentera bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan berikutan Allahyarham Khusairi juga adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim.

“Mesyuarat Cawangan akan diteruskan walaupun semua ahli cawangan di bahagian ini sedang berduka. Kita sedar, apapun yang terjadi tanggungjawab sebagai ahli parti perlu dilaksanakan.

“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan UMNO Tanjung Malim untuk atur semula baki mesyuarat di peringkat Cawangan yang belum diadakan agar ia dapat berjalan dengan baik dan lancar,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Dalam hal ini, Zaidi berkata, mesyuarat Cawangan ini harus diaplikasi untuk memperkukuh dan merapatkan saf bagi meneruskan perjuangan Allahyarham Khusairi yang telah banyak berjaya.

“Banyak Cawangan telah adakan tahlil tapi dari segi tanggungjawab terhadap parti kita akan tetap laksanakan. Saya amat berharap semua ahli akan lebih bersemangat apatah lagi kita akan berhadapan dengan PRK tidak lama lagi.

“Jadi, marilah kita bersama-sama berganding bahu memberikan yang terbaik kepada parti,” ujar beliau.

Mohd Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang pada 15 Julai lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.

Mohd Khusairi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak 2004. Beliau memenangi kerusi DUN Slim pada PRU-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Zulfadli Zainal. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.