Projek ECRL Perlu Dikembalikan Kepada Jajaran Asal Untuk Kepentingan Rakyat – Sharkar

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) perlu dikembalikan kepada jajaran asal kerana pelaksanaan projek infra-rakyat itu bukan untuk membebankan rakyat.

Menurut beliau projek yang merupakan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini sepanjang 688 kilometer itu adalah selari dengan hasrat kerajaan pada waktu tersebut bagi menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia dan meningkatkan taraf pengangkutan awam di luar bandar.

“SAYA masih ingat titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mana sewaktu itu baginda adalah Pemangku Raja Pahang dan bertitah bahawa Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah projek untuk rakyat, keretapi rakyat.

“Matlamat ECRL ialah untuk memendekkan masa perjalanan dari Gombak di ibu kota ke Kota Bharu kepada masa kurang dari empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya biasa. Oleh itu, jajaran ECRL asal merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Bentong ke Gombak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Namun begitu, tambah Mohd Sharkar lagi selepas bertukarnya kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) telah mengubah laluan baru yang mana tidak akan melalui Bentong dan Gombak.

Tambah beliau lagi keputusan keputusan berkenaan dilihat lebih kepada faktor politik bukan atas faktor geologi dan alam sekitar seperti dicanang oleh mereka (PH).

Mohd Sharkar seterusnya memberikan pandangannya kenapa ECRL perlu melalui Bentong yang mana kajian berhubung perkara ini telah dibuat secara teliti oleh kerajaan BN sebelum ini dan antara matlamatnya untuk membenarkan mereka yang ingin duduk di Bentong atau Mentakab tetapi bekerja di Kuala Lumpur dengan menaiki ECRL sahaja berulang alik pada setiap hari.

“Jangka masanya pastinya jauh lebih singkat berbanding dengan menaiki kereta dari Bentong ataupun Mentakab ke Kuala Lumpur. Sekarang, ECRL tidak akan sampai ke ibu kota lagi kerana jajaran telah ditukar, stesen ECRL terdekat ke Kuala Lumpur ada di Bangi dan Putrajaya.

“Ini bermakna penduduk Kuala Lumpur perlu menghala ke selatan sebelum menaiki keretapi ECRL di Bangi atau Putrajaya untuk ke utara, begitu juga penduduk dari Pahang dan Pantai Timur yang ingin ke Kuala Lumpur, perlu ke Putrajaya.

“Selain untuk kemudahan rakyat, aspek pelancongan juga perlu diberikan perhatian. Pantai Timur khususnya Pahang menawarkan banyak produk pelancongan menarik terutama keindahan pantai, keunikan budaya dan hasil kraftangannya.

“Projek ECRL yang berfungsi memendekkan perjalanan dari ibu negara akan menyemarakkan lagi kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Pahang dan Pantai Timur.  Tetapi seperti dinyatakan tadi, pelancong yang ingin ke Pahang serta negeri lain di Pantai Timur perlu ke Putrajaya terlebih dahulu jika mahu menggunakan perkhidmatan ECRL? Adakah ini merupakan langkah bijak bagi merancakkan lagi industri pelancongan khususnya di negeri di Pantai Timur,” katanya.

Berhubung Klang Gate Quartz Ridge yang dikatakan bakal dimusnahkan untuk pembinaan laluan ECRL, Mohd Sharkar menegaskan itu bukan lagi menjadi isu kerana, ianya mempunyai alternatif baru yang akan melalui jalan lama atau ikut susur sungai.

“Mengenai kerajaan Selangor yang tidak bersetuju dengan cadangan ECRL dibina berdasarkan jajaran asal yang melalui kawasan Gombak dan Serendah di negeri itu kerana jajaran asal berkenaan melalui kawasan tadahan air di Selangor, itu merupakan faktor baharu yang dibangkitkan.

“Isu itu tidak timbul pun sebelum ini, saya berpandangan kita harus melihat ECRL sebagai projek mega yang dirancang mampu untuk bertahan sehingga 100 tahun dan manfaatnya akan terus dapat dinikmati melebihi daripada tempoh itu.

“Projek itu wajar dinilai daya majunya dalam tempoh 30 tahun akan datang memandangkan perancangannya bersifat jangka panjang demi rakyat khususnya generasi akan datang.  Atas faktor itulah maka jajaran asal ECRL perlu dikembalikan kerana pelaksanaan projek infra-rakyat itu bukan untuk membebankan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.