PH Gagal Bentang Laporan Kewangan TH2018/19… Kalau Telus, Tidak Perlu Takut – Azeez

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) berkata, kegagalan Pakatan Harapan (PH) membentang laporan kewangan TH bagi tahun 2018/19 secara tidak langsung membuktikan ada yang sesuatu yang tidak kena.

Jelas beliau, sehingga hari ini laporan tersebut masih gagal dikemukakan dan kerana itulah beliau mendesak agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH.

“Bila mereka gagal memastikan laporan tahunan kewangan TH 2018/19 dibentangkan di Parlimen malah sehingga Jun 2020 pun masih tidak dibentang, saya sudah syak ada sesuatu yang tidak kena. Kalau betul telus, kenapa tidak bentang lagi? Peruntukan undang-undang ada kata, kalau gagal bagi laporan kewangan semua lembaga pengarah kena letak jawatan.

“Saya pun tidak faham mereka ini… ‘flip-flop’. Kejap kata rugi, kejap kata untung, kejap kata tidak ada duit, kejap kata ada duit. Saya pun tidak tahu mana satu betul, sebab itu kita nak bahas dalam Parlimen dan saya merayu kepada kerajaan agar tubuh RCI,” ujar beliau.

Azeez berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen ‘Dari Parlimen’ yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Tambah Azeez, apa yang lebih menyedihkan adalah tindakan pengurusan TH di zaman PH yang menjual harta TH dengan begitu murah.

“Empat buah hotel TH mereka jual iaitu hotel di Bayan Lepas, Alor Setar, Terengganu dan Kota Kinabalu. Sudahlah jual dengan harga murah, mereka jual perabot dalam empat hotel ini hanya dengan harga RM10 ribu seolah-olah barang-barang ini tidak ada nilai… jual pula pada syarikat RM1.

“Perkara yang saya sebut adalah fakta. Sebab itu saya nak pergi ‘roadshow’ satu Malaysia, saya nak cakap apa yang telah berlaku dalam TH. Saya hafal undang-undang TH, selama ini saya diam beri peluang untuk mereka cari mana kesalahan saya dan mana yang saya curi tapi sehingga Tun (Mahathir) letak jawatan, mereka tidak ada bukti,” ujar beliau lagi.

Dalam segmen ini juga buat pertama kali beliau mendedahkan bahawa sepanjang menjadi Pengerusi TH, semua pendapatannya diinfak kepada rumah anak yatim miliknya di Mekah.

“Bukan saya nak mendabik dada atau riak tapi ini pertama kali saya dedahkan, gaji dan elaun saya di TH semua saya beri kepada rumah anak yatim milik saya di Mekah jadi bila duit gaji pun saya tidak ambil, takkan saya nak mencuri? Saya orang berniaga, saya ada pendapatan sendiri.

“Yang jadi isu dulu berkaitan Yayasan TH… Yayasan ada bagi zakat setiap tahun dan pada tahun 2017 Datuk Najib ketika itu melalui akaun UMNO telah mengeluarkan RM20juta beri kepada TH untuk bagi zakat kepada semua Parlimen… masa ini bulan puasa, dua hari sahaja saya sempat berbuka puasa dengan keluarga, lain saya pusing satu Malaysia untuk uruskan amanah ini,” tegas beliau.

Melalui segmen ini juga, Azeez mendedahkan telah menerima banyak permohonan maaf daripada orang ramai yang telah terpedaya dengan fitnah yang ditaburkan oleh PH dahulu.

“Saya nak beritahu, saya telah maafkan semua. Mereka fitnah saya macam-macam tapi saya percaya bahawa doa orang yang teraniaya dimakbulkan. Saya juga tidak dikenakan sebarang tuduhan berkaitan TH.

“Sekali lagi saya nak cakap… saya maafkan semua,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.