Pertahan UMNO Untuk Terus Berkhidmat Kepada Rakyat – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 23 Julai – Dalam keadaan politik negara yang tidak stabil sepenuhnya, Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta setiap anggota memainkan peranan proaktif dan bersiap sedia untuk menghadapi apa-apa juga cabaran termasuklah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Katanya, sebarang kemungkinan boleh sahaja berlaku dalam keadaan sekarang maka perlunya keteguhan untuk berdepan apa-apa juga keadaan.

“Ya, kita mesti sentiasa bersiap sedia dan pastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) terus pertahankan Putrajaya,” katanya yang bercakap dalam program santai bersama Ketua-ketua Penerangan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Putrajaya, malam tadi.

Dalam kesempatan ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut bersikap terbuka dan mengadakan komunikasi dua hala bersama khalayak yang ada.

“Saya telah memberi taklimat tentang isu-isu semasa dan kami saling bertukar pendapat, mendengar idea-idea dan pandangan dari mereka khususnya tentang suara dari akar umbi.

“Kita perlu terus laksanakan tanggungjawab memperkukuh perpaduan yang menjadi azimat berharga kita di akar umbi dalam memperkukuh UMNO,” maklumnya.

Dalam hal ini katanya, semua kemungkinan yang bakal berlaku perlu dihadapi dan semua peringkat kepimpinan hinggalah ke akar umbi juga mesti bersiap sedia.

Program Santai Prihatin

Sebelum itu Tengku Adnan yang telah menyempurnakan Majlis Santai bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zone 3 Presint 8 dan Presint 10 turut menyeru semua pemimpin masyarakat untuk menumpahkan sepenuh komitmen dalam melaksanakan keprihatinan terhadap permasalahan rakyat.

Katanya, pemimpin tempatan merupakan antara individu yang penting dalam menyatupadukan penduduk supaya sentiasa harmoni dan saling bekerjasama menerusi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan tanpa mengira ras atau kaum dan etnik masing-masing.

“Saya telah meminta supaya semua ketua-ketua masyarakat tempatan untuk memainkan peranan bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan permintaan rakyat setempat.

“Tanggungjawab dan amanah terpikul di bahu bagi memastikan kesejahteraan sentiasa terpelihara dan sentiasa berusaha untuk merapatkan hubungan antara komuniti. Apa yang paling penting sikap prihatin dan sentiasa berusaha memelihara perpaduan yang ada,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.