Utusan Malaysia di Hati Rakyat, Berpisahnya Tiada Dan Akan Terus Bawa Suara Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata kembalinya Utusan Malaysia dalam arena sebaran maklumat bukan sahaja momen yang paling membahagiakan malah tentunya sesuatu yang mengembirakan buat seluruh Rakyat Malaysia.

Menurut beliau jasa serta sejarah tidak pernah terpadam dalam minda serta sanubari rakyat Malaysia dan pengorbanan wartawan Utusan Melayu mendapatkan sumber informasi tepat dan penerbitan akhbar Utusan Melayu serta Utusan Melayu sejak sebelum Malaysia Merdeka hinggalah akhbar tersebut terpaksa menggulung tikar wajar dikenang dan dihayati.

“Selamat Kembali Utusan Malaysia, semoga kemunculan Utusan Malaysia kali ini membawa bersamanya ideal serta informasi penting yang sangat diperlukan oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

“Sejarah Utusan Melayu di asaskan oleh Yusuf Ishak dan Rahim Kajai menjadi suara yang bebas dan berani dalam mewakili nurani dan pemikiran bangsa Melayu. Justeru itu, dengan kembalinya Utusan Melayu ke arena sebaran maklumat melaui cetakkan akhbar mesti kembali kepada ideal asal penubuhannya, iaitu kewartawanan berwibawa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Norshida lagi Utusan mesti menjadi tonggak kepada pengukuhan demokrasi dengan melakukan fungsi semak dan imbang dengan lebih radikal dan konstruktif.

“Ayuh kita semua mesti mengambil tanggungjawab untuk mendukung Utusan Malaysia menjadi akhbar yang moden, bebas dan bermutu. Kita mendoakan agar Utusan Malaysia terus maju melangkah cemerlang ke depan sebagai sumber terbaik informasi kepada bangsa melayu dan rakyat Malaysia,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.