Tubuh RCI Tabung Haji Demi Singkap Isu, Penyelewengan & Kontroversi

PERBAHASAN TITAH DIRAJA PARLIMEN MALAYSIA (TABUNG HAJI)

Dato Yang Di Pertua,
1. Isu Tabung Haji ialah isu yang sangat penting. Saya telah dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 1 Julai 2013. Saya bersama-sama pengurusan tertinggi Tabung Haji pada ketika itu telah diamanahkan dengan tanggungjawab yang sangat berat. Bukan sahaja untuk meningkatkan kepentingan Tabung Haji sebagai institusi kewangan umat Islam, tetapi juga mengekalkan pulangan kompetitif terhadap pendeposit Tabung Haji.

2. Alhamdulillah, ketika saya mula-mula menjadi Pengerusi, jumlah deposit pendeposit Tabung Haji adalah RM 45.7 Billion Jumlah deposit ini terus meningkat kepada RM73.50 Billion pada tahun 2017 iaitu pertambahan RM27.8 bilion dalam tempoh masa 4 tahun sahaja.

Berbanding pencapaian Pakatan Harapan yang menyebabkan jumlah deposit turun sebanyak RM5.1 Bilion kepada angka RM69 billion manakala bilangan pendeposit juga menurun sebanyak 500,000 orang apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan.

Dato Yang Dipertua,

3. Saya dua tahun telah digelarkan sebagai penyamun. Dipanggil perompak malah dipanggil pencuri wang Tabung Haji. Lebih dasyat lagi, saya di tuduh sebagai hindu masuk Islam, mana mungkin diberikan jawatan Pengerusi Tabung Haji dan diberi nama Kalimuthu. Saya dimalukan sedemikian rupa sedangkan sepanjang kami mengendalikan institusi kewangan ulung umat Islam ini, kami tidak pernah walau sekali pun telah gagal dalam membentangkan Laporan Kewangan Tahunan pada setiap tahun.

Sedangkan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan yang dianggap telus, gagah perkasa, integriti dan bersih tapi sehingga ke hari ini gagal untuk menyediakan Laporan Tahunan sepanjang pentadbiran mereka? Di manakah Laporan Kewangan Tahunan bagi tahun 2018 dan 2019? Jika tidak ada, bagaimanakah kerajaan Pakatan Harapan yang mana Tabung Haji diterajui oleh Kekanda Parit Buntar tergamak mengumumkan hibah sebelum prestasi mereka diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

4. keperluan dan kewajipan menyediakan laporan tahunan Penyata Kewangan ini disebut dengan jelas di dalam Seksyen 5 & 6, Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan 1980) Akta 240.

Dato Yang Di Pertua,
5. Apa yang menyedihkan, laungan perompak, penyamun, pencuri tersebut berdasarkan kononnya saya bersama-sama pihak pengurusan tertinggi Tabung Haji telah dituduh melakukan perkara-perkara berikut:

TUDUHAN PERTAMA:

A. KAMI TELAH MEMBERIKAN HIBAH KEPADA PENDEPOSIT TABUNG HAJI SEDANGKAN LIABILITI ADALAH MELEBIHI ASET WALAUPUN BANK NEGARA TELAH MENEGUR PERBUATAN TERSEBUT.

Saya ingin jelaskan di sini bahawa Lembaga Tabung Haji adalah sebuah perbadanan ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 AKTA 535 dan Akta Badan Berkanun 1980 Akta 240, serta tidak terikat dengan peraturan-peraturan Bank Negara, KERANA ITU TABUNG HAJI BOLEH BAGI DIVIDEN ATAU HIBAH TINGGI BERBANDING BANK-BANK LAIN DIBAWAH BANK NEGARA.

Maka pemberian Hibah kepada pendeposit mestilah dibayar Menurut AKTA TABUNG HAJI 1995 (AKTA 535), SEKSYEN 22 (1) antaranya menyebut :

LEMBAGA BOLEH MENGIKUT BUDI BICARA MUTLAKNYA MENENTUKAN PADA BILA-BILA MASA SAMA ADA WAJAR UNTUK MENGISYTIHARKAN SUATU JUMLAH WANG SEBAGAI UNTUNG BOLEH AGIH (IAITU HIBAH YA) DENGAN KELULUSAN MENTERI.

SEKSYEN 22 (3) DAN 22 (3) (a) pula antaranya menyebut bahawa :
TIADA UNTUNG BOLEH AGIH (IAITU HIBAH) BOLEH DIISYTIHARKAN DALAM MANA-MANA TAHUN MELAINKAN JIKA PADA AKHIR TAHUN ASET KUMPULAN WANG TIDAK KURANG DARIPADA JUMLAH LIABILITI KUMPULAN WANG.

DATO YANG DIPERTUA,

KALAU KITA LIHAT PADA MUKA SURAT 10 PENYATA KEWANGAN 2017 TABUNG HAJI PIHAK PENGURUSAN TELAH MELAPORKAN KERUGIAN RIZAB-RIZAB LAIN BERJUMLAH RM4.6 BILLION. KERUGIAN INI ADALAH HASIL DARI PERBEZAAN HARGA KOS EKUITI SAHAM YANG DIBELI DENGAN HARGA PASARAN SEMASA PADA TARIKH LAPORAN KEWANGAN NI DIBUAT. YANG DIPERTUA, INI ADALAH KERUGIAN YANG BELUM DIREALISASIKAN KERANA SAHAM-SAHAM TERSEBUT MASIH DIPEGANG OLEH TABUNG HAJI DAN HARGA PASARAN AKAN TURUN NAIK BILA HARGA BURSA SAHAM PULIH. DAN PERLU INGAT MASA TU PRESTASI BURSA SAHAM NI MENJEJASKAN SEMUA SYARIKAT-SYARIKAT DI MALAYSIA BUKAN HANYA SYARIKAT-SYARIKAT DI DALAM PELABURAN TABUNG HAJI SAHAJA.

YANG INI PUN DINYATAKAN OLEH PIHAK PENGURUSAN DALAM PENYATA KEWANGAN JADI DI MANA ASAS TUDUHAN MEREKA YANG KATA LAPORAN PENYATA KEWANGAN TU SALAH, MENYELEWENG, IBARAT KANSER, TENAT SEHINGGA MENAKUTKAN PENDEPOSIT DAN PELABUR SEMUANYA.

TUDUHAN SETERUSNYA,

B. Saya dan Pengurusan Tetinggi Tabung Haji telah dituduh melelong aset Tabung Haji. Jika benar, kenapa asset Tabung Haji boleh meningkat RM26.5 bilion sepanjang saya menjadi Pengerusi? Ini adalah asset yang Tabung Haji perolehi dalam bentuk fizikal. Sama ada dalam bentuk ladang, bangunan, hotel, tanah, saham dan lain lain lagi. Ini adalah asset-asset yang mempunyai nilai dan boleh dicairkan kepada tunai pada bila-bila masa jika keadaan mendesak.

Dato’ Yang Dipertua,

semasa saya menerajui TH, terdapatnya Jawatankuasa Panel Pelaburan yang memantau pelaburan Tabung Haji dan Ahli Jawatankuasa Panel Pelaburan ini merupakan mereka yang sangat berkaliber, hebat, terulung antaranya:

1. Ybhg Datuk Nor Shamsiah Binti Yunus Gabenor Bank Negara Sekarang ni.
2. Ybhg Tan Sri Wahid Omar bekas Menteri Di Jab Perdana Menteri yang kini merupakan Pengerusi Bursa Malaysia.
3. Ybhg Datuk Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB
4. YAM Tan Sri Dato Seri Syed Anwar Jamalullail
5. Ybhg Dato Mokhzani Abdul Wahab

Sebarang keputusan pelaburan perlu diperakui oleh Panel Pelaburan ini. Malangnya Panel Pelaburan ini telah digantikan pada zaman Pakatan Harapan sekarang dengan “PANEL PELEBURAN” Aset-Aset Tabung Haji.

Dato’ Yang Dipertua,

6. YB Parit Buntar ada menyebut bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah menyuntik RM19.9 Billion kepada Tabung Haji demi ingin menyelamatkan Tabung Haji.

Saya ingin membidas bahawa pada 31 December 2018 satu sen pun tidak disuntik kepada Tabung Haji walaupun asset berjumlah RM10 Billion telah dijual kepada UJSB. Sehingga sekarang iaitu 31 Julai 2020 hanya RM100 Juta yang telah dibayar jadi apa yang telah disuntik tu?

Ini ialah hutang yang belum tentu boleh dibayar oleh UJSB bila cukup tempoh matang nanti. Usahkan nilai RM27.8 bilion yang perlu dibayar 7 & 10 tahun lagi, kalau dapat bayar Rm10 bilion nilai asset yang dijual pun dah dikira bernasib baik.

Dato’ Yang Di Pertua, ini adalah kertas hutang. Kertas hutang atau sukuk ini adalah non-transferable dan non-guaranteed BY GOVERNMENT dengan izin.

Bermakna jika Tabung Haji TUTUP KEDAI hari ini seperti mana kenyataan Kekanda Parit Buntar, Tabung Haji tidak dapat memindahkan sukuk ini kepada pihak lain untuk mendapatkan tunai segera. Sukuk ini juga tiada jaminan daripada kerajaan sehingga menyebabkan nilainya tidak dapat disahkan oleh pihak audit.

Saya juga hairan bin ajaib, megikut maklumat daripada SSM, UJSB yang kononnya mempunyai nilai aset sehingga RM10 billion hanya mempunyai modal berbayar hanya RM1 sahaja.

7. Saya nak bertanya kepada Kekanda YB Parit Buntar kenapa hendak tipu rakyat dengan mengatakan aset hanya dipindah milik walhal hakikat sebenarnya aset-aset tersebut telah dijual dan bukan milik Tabung Haji. Dalam perjanjian pemindahan aset antara Tabung Haji dan UJSB tersebut, Saya difahamkan, daripada RM19.9 bilion ini hanya RM100 juta sahaja sudah dibayar pada 31/12/2019. (guna analogi jual jual rumah, bayar deposit, owner baru dah kutip sewa dari kita) (perabot jual dengan hanya RM10,000) Kalau tinggal di hotel, TH kena bayar sewa kepada UJSB untuk jemaah kita transit.

Sepanjang zaman saya, Tabung Haji berjaya memberikan hibah purata sebanyak 7.25% antara 2013 hingga 2017

8. Saya ingin bertanya kepada YB Menteri Agama dan Menteri Kewangan sekarang, Ketika asset-aset milik Tabung Haji dijual kepada UJSB pada tahun lepas, rakyat dijanjikan oleh pentadbiran PH bahawa asset-aset ini akan menjalani pemulihan, pembaikan tadbir urus serta pertambahan nilai supaya dalam tempoh 10 tahun akan datang, UJSB dikatakan mampu membayar balik lebih RM27 bilion kepada Tabung Haji. Jika sekiranya asset-aset tersebut gagal mencapai nilai RM27 bilion apabila tempoh matang sukuk telah tiba, bagaimana UJSB nak membayar hutang ini kepada Tabung Haji? (Bagaimana syarikat yang baru diwujudkan dengan bermodal RM1 boleh membayar balik hutang tersebut)
Apakah yang boleh dilakukan jika berlaku kegagalan sedangkan sukuk ini langsung tidak dijamin oleh kerajaan?

Dato Yang Di Pertua,

9. Pada awal Mac 2020, UJSB telahpun melupuskan 111.3 juta unit saham daripada 10 syarikat milik asal Tabung Haji. Nilai 111.3 juta unit saham ini berdasarkan perjanjian antara Tabung Haji dan UJSB adalah RM183.54 juta. Ini adalah nilai asas yang belum mengambilkira dividen sukuk. Sekiranya dividen sukuk diambil kira, maka nilai yang sepatutnya dibayar oleh UJSB kepada Tabung Haji bagi unit-unit saham ini adalah sekitar RM230 juta

10. Mengejutkan saya adalah tindakan UJSB yang melupuskan saham-saham ini ketika BSKL berada pada tahap yang paling lemah. Nilai pasaran bagi unit-unit saham itu pada ketika ia dilupuskan adalah pada kadar RM 38.2 juta sahaja. Bagaimanakah UJSB mampu membayar semula hutang kepada Tabung Haji jika sekiranya aset-aset ini dilupuskan jauh lebih rendah daripada harga belian? Siapakah pula yang membeli saham saham ini daripada UJSB? Pihak manakah yang mendapat keuntungan besar daripada transaksi jualan ini?

11. Yang untung sudah tentulah pihak pembeli saham tersebut. Sebagai contohnya syarikat Icon Offshore. UJSB telah melupuskan 25.48 juta unit saham milik asal TH ini ketika harga pasaran berada pada paras 6.5 sen. Anggaran nilai transaksi pada ketika itu adalah RM1.656 juta. Tetapi pada hari penutup semalam, nilai saham Icon telah meningkat kepada harga 12 sen sesaham (17 Julai 2020).

Sesiapa sahaja yang membeli saham tersebut daripada tangan UJSB pada awal Mac lepas sepatutnya sudahpun memperoleh keuntungan RM1.4juta iaitu hampir satu kali ganda hanya dalam masa 4 bulan.

12. Begitu juga dengan sektor perladangan. Pada zaman saya, Tabung Haji melalui anak syarikatnya TH Plantation Berhad telah berjaya meluaskan ladang sedia ada sehingga mencapai saiz 100,976 hektar iaitu keluasannya lebih besar dari negara Singapura. Saya ditohmah bahawa saya membeli ladang-ladang yang tidak berguna, rosak, mahal serta tidak subur.

Tuan Yang Dipertua, izinkan saya membetulkan laporan ini. Rekod TH Plantations Bhd sebenarnya tidak pernah rugi ketika zaman saya menjadi Pengerusi Tabung Haji. Sepanjang zaman kami, TH Plantations mencatatkan keuntungan setiap tahun.

Kadar keuntungan bersih sebelum cukai adalah seperti berikut:

2015 – RM 18,714,000
2016 – RM 127,296,000
2017 – RM 60,999,000

Hanya pada zaman Pakatan Harapan iaitu tahun 2018, THP telah mencatatkan prestasi terburuk sepanjang penubuhannya. THP telah rugi sebanyak RM 678,111,000. Ini bermakna Tabung Haji telah diurus dengan baik oleh kerajaan terdahulu tetapi apabila Pakatan Harapan ambil alih mereka menjahamkan dan membuat pelbagai tuduhan.

13. Berkenaan penjualan dua buah anak syarikat THP bernama Bumi Suria Ventures dan Maju Warisan Mas kepada sebuah syarikat bukan bumiputera bernama Tamaco Plantation Sdn Bhd. Bagaimanakah sebenarnya kaedah penjualan berkenaan? Saya tidak rasis, asalkan harga tersebut menguntungkan TH Plantation.
Saya difahamkan ladang tersebut telah ditawarkan dengan harga lebih RM400 juta. Kenapa tawaran tersebut tidak dimasukkan di dalam tender ?

14. Apakah status penjualan Ladang Bumi Surai Venturess dan Maju Warisan Mas kepada syarikat bukan bumiputera iaitu Tamaco Plantation Sdn Bhd yang mana ahli Lembaga pengarahnya ketika itu seperti yang tertera di dalam Bursa Announcement:

1. Lim Sing Hua
2. Lim Chun Leng
3. Lim Wai Foong
4. Lim Chun Hsiung
5. Lee Ban Loong

Sebelum ini Kulim kata tiada aset Tabung Haji yang dijual kepada bukan Islam. Jadi apakah Lim Sing Hua, Lim Chun Leng dan 3 lagi ini adalah pendeposit Tabung Haji?

15. Mengapakah selepas JPPH mengeluarkan penilaian RM224 juta terhadap ladang tersebut pada 10 April 2020, pengurusan TH Plantations (THP) telah membuat rayuan beberapa kali agar agensi kerajaan tersebut menurunkan lagi harga penilaian aset berkenaan? Sedangkan sepatutnya THP menggunakan asas RM224juta tersebut untuk memulakan semula rundingan dengan Tamaco agar harga jualan dapat memberikan hasil optimum kepada umat Islam

16. Dengan keputusan JPPH pada 30 Jun 2020 bagi menurunkan lagi nilai ladang tersebut sepertimana rayuan THP, adakah ini bermakna umat Islam akan sekali lagi kehilangan aset berharga dengan harga yang tidak wajar? Saya memohon jasa baik Unit Perancang Ekonomi (EPU) agar kelulusan penjualan tersebut ditangguhkan dan saya merayu agar satu siasatan menyeluruh dibuat kepada perkara yang disebutkan ini.

17. Apakah Keputusan menjual 14 anak syarikat TH Plantation ketika pemerintahan Pakatan Harapan ini juga akan menyebabkan THP keluar terus daripada industri sawit Sarawak. Mengapakah ia berlaku sedangkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 sepatutnya dihormati agar Sarawak juga mendapat manfaat daripada pelaburan syarikat kerajaan pusat?


18. Kesimpulan kepada perbahasan saya pada hari ini, tertubuhnya kerajaan PH adalah atas 2 faktor utama. Yang pertama ialah fitnah dan yang kedua adalah berdasarkan kezaliman sebagaimana yang berlaku ke atas diri saya dan pengurusan tertinggi yang lama yang tidak berdosa.
Mereka masih ditahan kerja selama 600 hari sehingga kini tanpa dipanggil untuk membela diri dan ada diantara mereka ditahan di lokap SPRM dan direman.

Tidakkah itu zalim dan persoalan ini mesti dijawab.

19. Oleh yang demikian, demi harta dan hak umat Islam. Demi maruah dan kesucian institusi Islam. Demi masa depan dan kegemilangan agama Islam, saya mengusulkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI ditubuhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional hari ini bagi mencari kebenaran di sebalik satu skandal yang amat memilukan masyarakat Islam negara kita. Sekiranya RCI ditubuhkan, maka saya menawarkan diri untuk menjadi individu pertama disiasat bagi membuktikan kebenaran dan hakikat sebenar yang berlaku di dalam institusi Tabung Haji pada hari ini.

Dengan ini saya menyokong Titah Perbahasan Di Raja dan saya akhiri dengan assalamua’laikum w.b.t

DATO’ SERI PANGLIMA AZEEZ RAHIM
Ahli Parlimen Baling

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.