Sidang Dewan Rakyat Perlihat Sikap Sebenar MP Pembangkang Yang Memalukan

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 13 Julai lalu memperlihatkan sikap sebenar pemimpin-pemimpin gabungan pembangkang yang amat tidak matang dan memalukan.

Jelas beliau, blok pembangkang yang sebelum ini adalah menteri dan timbalan menteri tidak sepatutnya berkelakuan seperti kebudak-budakan, tidak menghormati peraturan Dewan dan Speaker Dewan baharu yang sah dilantik.

“Bagi saya, mereka adalah pemimpin yang gagal dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya memperlihatkan kerosakan sikap dan kesantunan peribadi mereka sebagai bekas menteri dan pemimpin PH sekaligus membuktikan juga mereka memperlekeh prinsip Rukun Negara yang sedang kita raikan 50 tahun pembentukannya.

“Dalam titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong sendiri, Baginda dengan tegas menyatakan pembentukan kerajaan baru dilakukan dengan teliti dan seadil-adilnya. Maka kerajaan yang dibentuk adalah sah dengan majoriti, Speaker dilantik sah… tetapi pembangkang sengaja mempertikai pelantikan Speaker baharu sekaligus secara tidak langsung membelakangkan titah diraja,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tawfik, provokasi yang berlaku di Dewan Rakyat tidak mencerminkan sikap profesionalisme ahli parlimen pembangkang yang beremosi sepanjang sidang berbanding dengan ahli parlimen kerajaan yang menjawab soalan lisan dengan fakta mengenai peristiwa peralihan kuasa.

“Sebolehnya ahli parlimen pembangkang cuba memburukkan imej dan usaha kerajaan bagi menggambarkan mereka adalah juara rakyat di Parlimen tetapi rakyat akhirnya dapat menilai sendiri ahli parlimen pembangkang sungguh beremosi, memperlihatkan sikap tidak profesionalisme dan gagal menghormati kerajaan yang sedang memerintah.

“Mereka seakan lupa bahawa sidang Parlimen ini ditonton secara langsung oleh rakyat dan secara tidak langsung rakyat menilai bagaimana kelakuan ahli parlimen ini. Saya sendiri mual melihat kelakuan mereka yang langsung tidak menghormati Speaker,” bidas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.