Penghinaan Mural: Negara Akan Hancur Akibat Kebencian, Tiada Hormat-menghormati – Pemuda UMNO Pahang

KUANTAN, 22 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang berpandangan selaku rakyat Malaysia lebih-lebih lagi rakyat negeri Pahang, tindakan menghina dan merosakkan potret Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara merupakan suatu tindakan yang amat mendukacitakan dan meninggalkan kesan penghinaan yang amat mendalam kepada mereka.

Kata Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor, tidak diketahui apa motif sebenar si pelaku, namun berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai perbuatan itu telah dirancang dan berpunca dari perasaan benci dan iri hati yang teramat sangat.

“Mengenali keperibadian Tuanku, rakyat negeri Pahang khususnya mengetahui bahawa keprihatinan dan kasih sayang Tuanku kepada rakyat sememangnya tiada tolok bandingnya.

“Kerap kali, Baginda mengenepikan segala protokol, keistimewaan dan kemuliaan sebagai Yang Di Pertuan Agong dan Raja untuk bersama-sama rakyat yang ditimpa bencana dan kesusahan.

“Maka apabila potret baginda dicacatkan dan dirosakkan, timbul tanda tanya di kalangan kami, apakah yang kurang dalam diri khususnya sesetengah generasi muda hari ini sehingga menimbulkan kebencian yang amat sangat terhadap institusi tertinggi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, semangat patriotisme dan kenegaraan perlu dipertingkatkan di kalangan rakyat.

“Mungkin sebuah suruhanjaya khusus perlu ditubuh bagi melihat perkara ini seterusnya mengambil langkah yang perlu untuk pemulihan.

“Kita bimbang sekiranya tidak dikawal, suatu masa negara ini akan hancur akibat kebencian dan kurangnya perasaan hormat menghormati antara kita,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.