Vandalisme Mural: Mesej Pengkhianatan, Penderhakaan Yang Jelas Kepada Negara – UMNOSiswa


KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNO Siswa) berpandangan amat jelas bahawa penghinaan ke atas mural yang memaparkan wajah Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong adalah suatu tindakan derhaka yang secara terang-terangan telah melanggar asas Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan negara.

Kata Naib Presidennya, Muhammad Syahmi Nor Ahmadi begitu juga dengan penghinaan kepada para pemimpin negara yang selama ini telah bertungkus-lumus dalam menguruskan negara dan berusaha sehabis baik untuk memastikan rakyat bebas daripada COVID-19 dan mampu bertahan ketika pandemik itu melanda.

“Penghinaan seperti ini sebenarnya adalah satu pengkhianatan kepada negara sendiri. Apa lagi yang mereka mahukan?

“Apakah masih tidak cukup dengan Malaysia menjadi antara negara terbaik dalam membendung, memutuskan rantaian, mengurus dan mencegah daripada menularan wabak COVID-19 sehingga dikagumi oleh negara-negara lain?

“Apa lagi yang mereka inginkan? Apakah tidak cukup dengan usaha dan bantuan yang dikurniakan oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong? Soalnya dalam satu kenyataan.

Ulasnya, begitu juga dengan usaha para pemimpin negara yang telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini daripada PKP, PKP Bersyarat dan sekarang PKP Pemulihan.

“Begitu juga dengan usaha mereka dalam memastikan rakyat tidak terkesan dengan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Pengenalan pakej PRIHATIN, pakej PRIHATIN tambahan, kemudian datang pula dengan PENJANA.

“Apakah semua ini masih lagi tidak cukup sehingga sampai tahap menghina mereka? Bidasnya lagi.

Oleh itu, tambah Muhammad Syahmi, UMNO Siswa menggesa pihak berkuasa agar berusaha sehabis baik mencari penderhaka dan juga pengkhianat negara itu serta memberikan hukuman yang lebih berat kepada mereka.

“Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan dan merupakan petanda yang tidak baik kepada keharmonian Malaysia di masa hadapan,” tegasnya.

UMNO Siswa juga katanya mengetahui bahawa tindakan kurang ajar tersebut adalah suatu tindakan yang bermotif dan hasil daripada ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu terhadap kerajaan pada hari ini.

“Oleh itu, kami dari Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia ingin mengingatkan bahawa tindakan menghina SPB Yang Di-Pertuan Agong bahkan kepada Raja-raja Melayu sekali pun adalah suatu tindakan yang tidak boleh dimaafkan dan tiada toleransi terhadap hukuman mereka!

“Bangsa Malaysia adalah mereka yang taat kepada Raja dan negara,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.