UMNO Sabah Terus Dapat Sokongan, Semakin Ramai Jadi Ahli… Termasuk Yang U-Turn – Musliati

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Muslimin berkata pendekatan UMNO Sabah sangat berbeza dengan parti Warisan yang sekaligus menarik minat pelbagai generasi untuk menyertai parti UMNO.

Katanya, sebab itu ramai ahli Warisan ‘berhijrah’ kembali kepada UMNO yang jelas memperlihatkan kepada masyarakat umum bahawa parti ini yang boleh memperjuangkan nasib mereka.

“Apa yang berlaku sebelum ini ini bukan saja di Kalabakan malah di setiap kawasan juga ramai ahli Warisan yang keluar parti. Termasuk di Kota Kinabalu turut tidak ketinggalan juga apabila terdapat bekas ahli UMNO yang ‘u-turn’ dan kembali semula kepada perjuangan parti.

“UMNO Sabah bukan sahaja relevan tapi hakikatnya begitulah… walaupun UMNO kalah semasa PRU lalu namun ia tetap relevan dan kuat di akar umbi. Yang tidak relevan adalah segelintir bekas pemimpin parti yang merasakan tidak boleh ‘hidup’ dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.

Sebelum ini dilaporkan lebih 40 orang pejuang Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO Kalabakan.

Dalam pada itu, Musliati turut memberitahu pelbagai pendekatan telah diambil oleh UMNO Kota Kinabalu dalam usaha mencari ahli baru termasuklah kempen melalui media sosial dan sebagainya lagi.

“UMNO Kota Kinabalu juga tengah berkempen untuk menambah ahli dan ‘merekrut’ ahli baru, ramai yang datang sendiri ke pejabat untuk mendapatkan borang keahlian. Saya lihat ramai anak-anak muda yang berminat dan seterusnya menjadi ahli parti. Kita menggiatkan pelbagai usaha menerusi penggunaan media sosial.

“Alhamdulillah… ramai pula yang ke depan dan mahu menjadi ahli UMNO melalui media sosial. Sambutan itu ‘luar biasa’ berbanding dengan sebelum ini. Mudah-mudahan perkara ini akan berterusan dan UMNO Sabah akan terus tetap kukuh dan relevan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.