Mohamad Gesa LKPU Segerakan Pengiktirafan Ijazah Undang-Undang USIM

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan musykil dengan kesukaran yang dihadapi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam mendapatkan kelayakan penuh daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LKPU) yang dipengerusikan oleh Peguam Negara.

Katanya, apatah lagi setelah pelbagai maklumbalas dan pematuhan oleh USIM terhadap pelbagai saranan, syarat dan kriteria tambahan yang dikenakan oleh LKPU.

“Keadaan ini menyukarkan graduan untuk merancang masa depan mereka terutama sekali bagi mereka yang berhasrat untuk beramal dalam bidang undang-undang.

“Jika semua ini adalah kerenah birokrasi, maka segala kesulitan dan kelewatan akibat proses ini adalah penganiayaan terhadap anak-anak bangsa kita dan makanya harus diselesaikan segera.

“Namun sebaliknya, jika isu ini bukan disebabkan kelewatan birokrasi, pasti akan timbul tanggapan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang seolah-olah mempunyai suatu agenda tersembunyi,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian mengulas mengenai laporan yang mengatakan USIM masih belum mendapat pengiktirafan penuh LKPU.

Ujarnya, tanpa kelayakan penuh, graduan undang-undang USIM tidak boleh diterima masuk sebagai peguamcara dan peguambela serta beramal dalam bidang undang-undang di mahkamah Malaysia.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, proses penawaran program akademik di institut pengajian tinggi awam dikawalselia dengan ketat oleh Senat Universiti, Lembaga Pengarah Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia.

Begitu juga jelasnya, program seperti undang-undang, sebelum dilaksanakan haruslah melalui pelbagai proses kawalselia termasuk penubuhan ‘Board of Studies’ yang dianggotai oleh pakar dalam pelbagai bidang kepakaran khusus.

“Saya mempunyai rasa hormat yang sangat tinggi terhadap kumpulan pengamal undang-undang Malaysia dan ramai daripada mereka yang terkemuka dalam bidang undang-undang juga merupakan rakan-rakan saya.

“Mereka sangat mengutamakan integriti dan kualiti yang ‘impeachable’ standardnya.

“Justeru, demi menjaga nama baik dan reputasi unggul Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, saya menyeru penyelesaian segera dibuat mengenai isu ini,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha