Vandalisme Mural Tidak Sepatutnya Berlaku, Ambil Tindakan Segera – Bung Moktar

 

 

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Bung Moktar Radin mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera terhadap mereka yang bertanggungjawab menconteng lukisan mural wajah-wajah pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, ini adalah satu perbuatan biadap dan tidak sepatutnya berlaku.

“Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dan Baginda telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik. Saya tidak nampak kenapa perlu ada unsur-unsur vandelisme.

“Maka saya menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk siasat dan ambil tindakan segera terhadap mereka yang biadap ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Bung, perbuatan ini juga tidak seharusnya dicontohi oleh mana-mana anak muda pada masa akan datang.

“Perbuatan ini juga harus dikutuk oleh semua pihak kerana ia tidak melambangkan budaya Malaysia,” tegas beliau.

Mural kreatif hasil sentuhan oleh tiga pelukis muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27 telah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat mural gergasi berkenaan.

Ia turut mendapat perhatian dan penghargaan daripada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Namun sayangnya, hasil seni tersebut telah dicemari dengan perbuatan vandelisme. Perbuatan khianat itu turut mendapat kecaman hebat natizen di media sosial. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.