UMNO Shah Alam Kutuk Kegiatan Vandalisme, Buat Laporan Polis – Azhari

KUALA LUMPUR, 20 Julai – UMNO Bahagian Shah Alam mengutuk sekeras-kerasnya terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan vandalisme dengan menconteng lukisan mural di kawasan komersial, Taman Cahaya Alam, Seksyen U12.

Ketua bahagiannya, Datuk Azhari Shaari berkata serentak itu juga pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 berhubung perkara tersebut dan berharap pihak polis akan menyiasat dengan segera kes ini.

“Tindakan tersebut amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang telah bekerja keras dan komited dalam menangani wabak Covid-19,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu, set mural yang memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beberapa yang lain didapati telah dirosakkan dan diconteng dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Mural di Seksyen U12 Shah Alam dilukis awal bulan ini, dan sejak itu menjadi tular di media sosial.

Selain potret Seri Paduka, yang dilukis di dinding bangunan di sana, turut menjadi hiasan adalah potret Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab menconteng mural pemimpin-pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, baginda berpandangan tindakan itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab disebabkan politik kebencian.

Azhari seterusnya menambah pihaknya difahamkan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil langkah segera untuk mengecat semula dinding tersebut dengan cat berwarna putih.

“Saya amat bersimpati dengan adik-adik yang bersusah payah menghasilkan karya yang turut dilawati DYMM Yang Dipertuan Agong dan Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’Nor Hisham Abdullah sendiri baru-baru ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.