UMNO Sabah Yakin Gelombang Sokongan Rakyat Akan Berterusan – Ghazalie

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Tindakan beramai-ramai pejuang Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu menyertai UMNO Kalabakan semalam adalah sesuatu yang sudah dijangka.

Malah bagi Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing perkara berkenaan sememangnya sudah diduga dan yakin gelombang seumpama itu akan berterusan memandangkan hari ini rakyat sudah tahu perjuangan sebenar parti terbabit.

Menurut beliau apa yang diluahkan dan apa yang berlaku itu menggambarkan hakikat yang sebenarnya kepada masyarakat umum tentang senario sebenar politik di negeri berkenaan terutama yang melibatkan Parti Warisan.

“Kita sama sekali tidak mahu mencampuri urusan parti pihak lawan dan apa yang ingin dijelaskan adalah bayangkan jika jenteranya sendiri yang bertungkus-lumus semasa PRU yang lalu boleh mengambil tindakan sedemikian rupa… apatah lagi rakyat di luar sana.

“Jelas sekali kekecewaan itu bukan hanya di kalangan ruang lingkup sesama mereka malah yang pasti rakyat di akar umbi cukup-cukup terkesan dengan pemerintahan yang diterajui oleh Warisan hari ini. Kita cukup yakin rakyat telah merasai bahkan telah pun dapat membuat penilaian sebaiknya,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Memetik laporan dalam media semalam, lebih 40 orang pejuang Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO Kalabakan.

Pengumuman keluar parti yang diketuai oleh Burhanuddin Labatta @ Din Tasak adalah atas ketidak yakinan mereka kepada kepimpinan Warisan Sabah yang ada sekarang.

Ghazalie yang juga Ketua UMNO Tawau seterusnya menambah UMNO Sabah akan terus melipatgandakan usaha dalam memastikan parti berkenaan bukan sahaja terus kukuh malah terus mendapat kepercayaan rakyat.

Katanya perjuangan UMNO tetap diteruskan dan tumpuan adalah kepada kepentingan rakyat dalam memastikan mereka mendapat pembelaan yang sebaik mungkin.  

“Kita seperti biasa akan teruskan peranan kita kerana di depan kita adalah perjuangan untuk membela nasib rakyat Sabah khususnya dalam keadaan negara dan negeri ini pasca COVID-19. Sudah tentu pelbagai masalah yang meyelubungi rakyat dan kita insya-Allah akan membantu sebaiknya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.