Jangan Tanamkan Semangat Kebencian, Cukuplah 22 Bulan Perpaduan Cuba Dirosakkan – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 20 Julai – Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru orang ramai untuk mengekalkan keamanan dan memelihara identiti Malaysia iaitu dengan mempertahankan bendera ‘Jalur Gemilang’ khususnya menjelangnya bukan kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi.

Katanya, sepanjang 22 bulan yang lalu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) macam-macam perkara berlaku termasuklah timbulnya semangat kebencian antara sesebuah kaum yang secara tidak langsung telah merosakkan perpaduan negara.

“Macam-macam telah berlaku selama 22 bulan itu. Ada yang sengaja menanamkan semangat kebencian terhadap sesebuah kaum sedangkan tidak pernah berlaku dalam negara kita selama lebih 60 tahun kita merdeka… tapi 22 bulan mereka mentadbir telah ada sifat dan sikap kebencian antara kaum.


“Ini masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan hari ini. Namun saya yakin dan kita di Putrajaya sendiri akan cuba untuk mengatasi masalah yang telah dilakukan oleh puak-puak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Saya rayu jangan kita cuba tanamkan semangat kebencian antara satu sama lain,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan program program’ Merdeka Community Bonding’ dan Majlis Penyerahan Bendera ‘Jalur Gemilang’ kepada wakil komuniti setempat, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya beliau menjelaskan tentang peranan setiap warganegara untuk menjaga bendera Malaysia.

“Bendera adalah identiti kita yang kita bawa kemana-mana, dalam sukan, dalam apa-apa pertandingan pun maka kita perlu pertahankan bendera ini kerana ia adalah identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” tegasnya.

Dalam hal ini beliau mengaitkan dengan insiden tahun lalu apabila terdapat segelintir pihak yang memasang bendera Malaysia terbalik di premis mereka.

“Saya berharap isu ini tidak lagi berlaku dan ingin mengingatkan kepada semua premis yang ingin memasang ‘Jalur Gemilang’ supaya lebih berhati-hati dengan membuat pemasangan yang betul sebelum ia dinaikkan dan dikibarkan,” katanya.

Ujarnya, apa yang lebih penting adalah perlunya didikan, penerangan dan pengetahuan dengan ibu bapa juga mesti memainkan peranan dalam menceritakan kepada anak-anak bahawa apa keamanan yang dikecapi mestilah terus dipelihara.

Program ‘Merdeka Community Bonding’ ini dilaksana bagi menyuntik kesedaran awal kepada rakyat mengenai sambutan Bulan Kemerdekaan Ogos hadapan dan untuk meningkatkan tahap patriotik serta cintakan negara secara menyeluruh. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.