PM Tidak Pernah Nyatakan Akan Iktiraf UEC – PMO

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menyatakan kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan beliau bersama pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong).

“Berhubung isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Hua Zhong bersama YAB Perdana Menteri pada 16 Julai 2020, ingin dijelaskan bahawa YAB Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC,” menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini pagi ini.

Kenyataan itu menyatakan, Perdana Menteri sebaliknya menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian, apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Menurut kenyataan itu juga, kerajaan pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP, dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian, dalam Bahasa Melayu.

“YAB Perdana Menteri juga menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu turut dilaporkan dakwaan Hua Zhong bahawa Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Menurut pertubuhan itu, Muhyiddin menyatakan harapan itu semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen beberapa hari lepas.- BERNAMA