Mesyuarat UMNO Cawangan: Perkukuhkan Barisan, Perkasa Muafakat – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua ahli mengambil peluang memperkukuhkan barisan dan memperkasakan muafakat sempena Mesyuarat UMNO Cawangan yang bermula pada 15 Julai lalu.

“Bersidang dengan penuh adab dan mahabbah serta patuhi SOP (prosedur operasi standard) keselamatan.

“Sama-sama kita bangkit selamatkan negara.

“Semoga Allah SWT rahmati perjuangan kita semua,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam satu catatan di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua ahli.

Untuk rekod, selaras dengan kenyataan kebenaran bermesyuarat dari Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Mesyuarat Pengurusan UMNO pada 6 Julai lalu memutuskan beberapa tarikh baharu bagi persidangan UMNO di peringkat Cawangan, Bahagian, Konvensyen UMNO Negeri dan Perhimpunan Agung UMNO.

Dijadualkan, Persidangan UMNO Cawangan bagi semua peringkat bermula pada 15 Julai hingga 31 Ogos ini dan Mesyuarat Perwakilan Bahagian pada 15 September hingga 31 Oktober.

Manakala Konvensyen UMNO Negeri-negeri pada 1 November hingga 23 November diikuti Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 28 November.

Tarikh-tarikh tersebut dianjakkan dari tarikh sebelumnya berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19 di negara ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.