Sokong Cadangan Moratorium Dilanjutkan, Beri Manfaat Bantu Rakyat – Farid

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor melihat cadangan yang diutarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar moratorium dilanjutkan berasas dan memberi manfaat yang cukup besar kepada rakyat.

Justeru katanya, pergerakan itu sependapat malah turut sama melontarkan beberapa cadangan yang berkaitan dalam usaha membantu beban yang ditanggung oleh rakyat pasca COVID-19.

“Ini kerana kita melihat memandangkan masih ramai rakyat yang tidak mampu membuat pembayaran komitmen bulanan mereka di bank atau mana-mana institusi kewangan disebabkan kesan Kawalan Pergerakan semasa negara di landa pandemik COVID-19 baru-baru ini.

“Antara perkara yang dicadangkan kepada Shahar Abdullah selaku Timbalan Menteri Kewangan moratorium dilanjutkan untuk tempoh beberapa bulan lagi untuk semua pihak. Selain itu kita juga mencadangkan agar pengurangan dan penjadualan semula bayaran balik secara pilihan kepada mereka yang terjejas.

“Selanjutnya pelanjutan moratorium kepada mereka yang disahkan terjejas akibat Pandemik COVID-19 seperti golongan yang hilang pekerjaan, peniaga kecil dan sederhana dan pengusaha produk pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebook.

Tambah Farid lagi, perkara tersebut yang dibangkitkan mendapat perhatian dan Alhamdulillah sememangnya kementerian sedang mencari kaedah yang sesuai bagi melindungi kepentingan semua pihak.

“Bagi yang berkemampuan Pemuda UMNO Pahang menyeru agar teruslah membuat pembayaran bagi membolehkan institusi-institusi kewangan dalam negara dapat bertahan dalam tempoh yang sukar ini, sekaligus membolehkan mereka lebih fleksibel kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.