Pahang Gesa ECRL Perlu Diteruskan Ikut Cadangan Asal

KUANTAN, 18 Julai – Menurut perancangan awal yang telah dibuat oleh kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, jajaran asal awal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat beberapa faktor agar perancangan awal ini diteruskan, antaranya adalah untuk meningkatkan lagi penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan kerana di kawasan selatan sudah mempunyai pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

“Kita juga ingin melihat ECRL yang jajarannya melalui Gombak akan dilaksanakan kerana ini akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.

“Terkini di Negeri Pahang Darul Makmur, projek ini telah mula dilaksanakan dan sudahpun berada pada tahap 13% atau 14%.

“Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan-perubahan yang sedikit, ia adalah satu perkara yang amat merugikan kerana kita telahpun mengambil langkah untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Wan Rosdy lagi, pada tahun 2019, sebanyak 1,394.4 hektar tanah yang merangkumi 232.5km jarak perjalanan yang merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan telahpun dalam proses untuk diambil-alih.

Tegasnya juga, dengan adanya ECRL mengikut pelan asal, ia akan membawa kembali peluang pekerjaan kepada anak-anak Negeri Pahang.

“Dan semestinya ledakan ekonomi akan berlaku sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini apabila siapnya infrasturktur ini.

“Saya telah menulis surat pada Mac 2020 yang lepas kepada YAB Perdana Menteri agar dapat mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang benar-benar lebih menguntungkan untuk jangka masa yang lebih panjang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu lagi.

Justeru katanya, Pahang berharap agar satu keputusan dapat dicapai untuk mengembalikan semula pelan asal ECRL kepada perancangan awalnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.