PSS: Bekas Timb Menteri KDN PH Putar-belit Fakta Di Dewan Rakyat

KOTA KINABALU, 17 Julai – Ketua UMNO Sabah Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang telah membidas bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Mohd Aziz Jamman yang cuba memutar-belikan fakta berkenaan cadangan PH sebelum ini mewujudkan Pas Sementara Sabah (PSS).

Katanya, walaupun pengwujudan PSS itu telahpun ditarik-balik oleh kerajaan Warisan Sabah tetapi apabila berlakunya perbahasan di Sidang Dewan Rakyat semalam jelas kelihatan Mohd Aziz berdolak-dalih hubung kait PSS dan isu kewarganegaraan.

“Mungkin Sepanggar telah lupa bahawa pada sidang Dewan Rakyat lalu sebelum berlakunya COVID-19 beliau pernah menjawab soalan yang ditujukan kepadanya bahawa sekiranya pemilik PSS ini suatu ketika nanti ingin memohon kerakyatan bolehkah dan jawapan beliau “mereka boleh memohon Yang Dipertua itu perkara lain”.

“Nampaknya Sepanggar ini suka memutar-belitkan fakta dan kata. Tanpa beliau sedari bahawa jawapan beliau sebenarnya membenarkan pemilik PSS ini suatu ketika nanti untuk melakukan permohonan kewarganegaraan sekiranya pengwujudan PSS itu diterima oleh semua pihak.

“Oleh kerana tidak tahan dengan tekanan majoriti rakyat Sabah yang menentang hebat pengwujudan PSS ini maka kerajaan Warisan Sabah telah menarik balik untuk mewujudkan PSS ini,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rasionalnya tambah Musliati, Mohd Aziz perlu sedar bahawa tindakannya selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PH telah cuba menggunakan kuasanya, berusaha untuk membuka jalan bagi pemegang dokumen PSS sekiranya diteruskan untuk memohon warganegara di masa akan datang.

“Sepanggar sebenarnya telah lari fokus sebaik menang sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum (PRU) lalu yang mana beliau banyak menabur janji untuk pengundi Sepanggar.

“Tetapi sebaik menang dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri rupaya fokus utamanya adalah untuk mendapatkan dokumen yang sah untuk pendatang tanpa izin (PTI) dan sehingga ke hari ini banyak janji yang beliau taburkan sebelum ini tidak ditunaikan,” katanya.

Seterusnya Musliati turut bersyukur kerajaan PH di pusat telah tumbang atas tindakan mereka sendiri.

“Bayangkan kalau mereka masih berkuasa mungkin sehingga ke hari ini masih ada usaha-usaha lain yang akan dibuat oleh Sepanggar dan kerajaan Warisan Sabah untuk memastikan PTI ini dapat diberikan dokumen yang sah oleh mereka,” ujarnya lagi.

Semoga pada PRU yang akan datang nanti rakyat Sepanggar khasnya dan rakyat Sabah amnya bijak membuat pilihan jangan ‘kerana nyamuk kelambu dibakar’ katanya.

“Pilihlah pemimpin dan parti yang berjuang untuk rakyat. Buatlah penilaian berdasarkan sumbangan yang pernah parti itu berikan kepada rakyat keseluruhannya bukannya parti yang berjuang seperti pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’”, serunya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.