Perjuangan Muafakat Nasional Sepanjang Masa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Perjuangan Muafakat Nasional membela nasib rakyat sepanjang masa bukan bermusim, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu hantaran pendek di Facebooknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian dengan menyertakan #MalaysiaBangkit dan #PerjuanganMembelaRakyat

Dilaporkan, keteguhan Muafakat Nasional ini telah diaplikasi sebagai pendukung kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini apabila semua Ahli Parlimen UMNO dan PAS memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Untuk rekod, pada 14 Sept tahun lalu UMNO dan PAS telah mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam Muafakat Nasional telah ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disaksikan ribuan ahli dari kedua-dua di Dewan Merdeka pada Himpunan Penyatuan Ummah.

Antara komitmen Piagam Muafakat Nasional adalah seperti menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara.

Begitu juga mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.