Tengku Adnan Gesa Mantapkan Gerak Kerja Demi Kesinambungan Perjuangan UMNO
PUTRAJAYA, 16 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua pemimpin UMNO disetiap lapisan agar terus memantapkan gerak kerja demi meneruskan kesinambungan UMNO sebagai satu-satunya parti yang mendukung perjuangan agama, bangsa dan negara.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah mendapat pengajaran bermakna sebagai pembangkang, maka tentunya enggan diulangi.
“UMNO/BN sudah dapat pengajaran bermakna apabila kita bergelar pembangkang, tahu rasa perit dan sukarnya 22 bulan yang lalu, maka kita mesti siap siaga untuk semua peringkat agar sentiasa proaktif,” katanya dalam perjumpaan santai bersama AJK dan ketua-ketua Cawangan UMNO Putrajaya di pejabat UMNO Bahagian tersebut, malam tadi.
Jelasnya, setiap pertemuan dalam parti khususnya melibatkan kepimpinan akar umbi mestilah diaplikasi untuk gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kita mesti sentiasa bersedia. Banyak yang perlu terus diperhalusi untuk digerakkan agar semua peringkat dalam UMNO dapat melaksanakan secara terus dan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhan,” katanya.
Ujarnya, sebagai pemimpin sama ada AJK atau ketua-ketua Cawangan termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO perlu ambil maklum setiap isu setempat.
“Hal luaran dan dalaman mesti ditangani dengan fokus utama untuk pastikan tidak ada kelompongan dalam gerak kerja,” katanya lagi.
Dilaporkan, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh mesyuarat Cawangan UMNO, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri( yang belum bermesyuarat) ialah pada 15 Julai hingga 31 Ogos sementara Mesyuarat Perwakilan Bahagian ialah pada 15 Sept hingga 31 Okt.
Pindaan tarikh ini dibuat ekoran pandemik COVID-19 dan selaras dengan kenyataan kebenaran bermesyuarat daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). – UMNO Online