Rakyat Perlu Tahu PH Sememangnya Gagal Sebagai Kerajaan – Shahidan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, rakyat perlu tahu secara jelas bahawa Pakatan Harapan (PH) telah gagal mentadbir negara dengan baik dan 22 bulan mentadbir adalah bukti kegagalan mereka itu.

Jelas beliau, di bawah pentadbiran PH, bukan sahaja ekonomi negara merudum malah kehidupan rakyat semakin terhimpit.

“Mereka gagal mentadbir negara, saham merudum sehingga RM400 bilion hilang. Bila Muhyiddin (Tan Sri) bersama Perikatan Nasional (PN) ambil alih, negara masih diperingkat yang teruk kerana COVID-19 dan ketidaktentuan pasaran minyak, tapi melalui pendekatan yang diambil, pasaran saham mula meningkat sedikit demi sedikit.

“Bukan seperti PH… 22 bulan mereka perintah, pelabur lari, saham jatuh, pinjaman meningkat, jual aset negara termasuk Tabung Haji. Mana duit ini pergi? Mana? Ada… mereka bagi kepada rakyat RM30. Itu yang mereka banggakan.

“Ini kenyataan yang rakyat kena tahu. Bukan boleh maaf macam itu sahaja. Tidak pernah ekonomi kita begini teruk, PH telah salah tadbir negara ini sehingga ekonomi jadi macam ini,” ujar beliau.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam Segmen Diskusi Dari Parlimen yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Shahidan turut membidas dan menafikan tuduhan PH kononnya Muhyiddin adalah pengkhianat.

“Muhyiddin bukan pengkhianat tetapi adalah penyelamat negara. Dia ada kebolehan… bersama-sama dengan Presiden parti UMNO, PAS dan semua pihak yang terlibat, kita berjaya menghidupkan ekonomi secara perlahan-lahan.

“Bukan saya tidak mahu puji PH tapi apa yang kita boleh puji PH selama 22 bulan dia tadbir? Kalau ada memang saya akan puji tapi masalahnya tidak ada. Cuma satu sahaja kejayaan mereka iaitu kalahkan BN yang gagah… yang tidak sangka tumbang,” ujar beliau.

Bercakap lebih lanjut Shahidan berkata, selama ini PH sering mengatakan negara tidak ada duit dan bakal muflis namun apabila PN mengambil alih pucuk pimpinan negara, ternyata negara mempunyai kewangan yang baik dan kerana itulah kerajaan mampu membantu rakyat ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Kalau negara sesak tidak ada duit tapi kenapa sekarang negara ada duit? Itu persoalannya. Mereka cakap sebab 1MDB negara berhutang dan sebagainya. Hutang 1MDB RM32 bilion tapi hartanya RM40 billion. Kenapa tak jual harta 1MDB? Kenapa jual harta lain? Juallah harta 1MDB, bandar TRX yang berjumlah RM150 blion. Kalau jual harta itu negara akan dapat keuntungan yang besar tapi tidak buat, yang mereka buat ialah jual harta Tabung Haji di mana harta itu yang kita untung.

“Malangnya ada di kalangan mereka yang cuba menafikan. Jadi saya cadangkan tubuh Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk siasat,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.