PH Sentiasa Retorik, Sesi Parlimen Bukti Sahih Tidak Layak Pimpin Negara

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Pakar Ortopedik dan Pediatrik, Dr. Mohammad Nawar Ariffin berkata, sesi Parlimen yang sedang berlangsung bukti sah Pakatan Harapan (PH) yang didukungi oleh Dap tidak layak memimpin negara.

Jelas beliau, pemimpin PH selayaknya menjadi pembangkang kerana mereka sentiasa beretorik dan tidak berasaskan fakta dalam berkata-kata.

“Ini bukti sah yang mengatakan PH yang didukungi oleh Dap musuh negara, tidak boleh memimpin negara dan sesi Parlimen mengesahkan mereka selayaknya menjadi pembangkang.

“Sekarang sesi Parlimen ‘live’… menguap besar pun akan nampak. Orang yang melihat satu dunia. Mereka yang melihat dari luar Dewan dapat melihat dengan jelas perangai wakil rakyat yang mereka undi. Mereka hendak menyesal atau bangga inilah masanya. Baru mereka faham perangai orang yang mereka pilih biadap ke kurang ajar ke….

“Parlimen juga medan sebenar untuk rakyat menilai bukan sekadar melihat rentak tapi menilai tatacara ‘teamwork’ dalam tadbir negara. Usul pengosongan Speaker contohnya, yang ‘dok’ menyalak seolah-olah lupa dulu mereka ini bekas menteri yang bercerita nak bangunkan negara, tapi sekarang kita tengok kualiti mereka macam tidak ada pelajaran, adab tidak ada,” ujar beliau.

Dr Mohammad Nawar berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan bersama Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam Segmen Diskusi Dari Parlimen malam tadi. Segmen tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online dengan moderatornya Datuk Dr Azizan Abd Majid.

Tambah Dr Mohammad Nawar, semua pemimpin sebenarnya harus fokus kepada permasalahan rakyat dan bukannya berdebat perkara yang tidak penting serta remeh.

“Kita kena tengok subjek kita, siapa yang kita layan dan dalam hal ini adalah rakyat. Jangan sesekali kita lupa 22 bulan kita diuji dengan kisah penuh resah dan gelisah. Jadi, jangan kita terbawa-bawa hanya dengan isu pertukaran Speaker sehingga kita lupa isu lain yang lebih penting,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.