Kematian Adun Slim Kehilangan Besar Kepada UMNO, BN Dan Rakyat Tanjung Malim

IPOH, 16 Julai – Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, yang meninggal dunia di Bentong, Pahang petang tadi merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi juga kepada rakyat di Tanjung Malim.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata Allahyarham Mohd Khusairi semasa hayatnya banyak berjasa kepada UMNO serta BN, dan ia jelas terbukti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jasa dan pengorbanan beliau untuk terus kekal bersama UMNO dan BN di saat kita kehilangan kuasa menunjukkan komitmen Allahyarham terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Saarani, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Malim Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata jenazah akan disembahyangkan di Masjid Felda Sungai Behrang pada 9 pagi esok sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Felda Sungai Behrang dan orang ramai yang ingin menziarah boleh berbuat demikian di rumah ibu Allahyarham di Jalan Q, Felda Sungai Behrang bermula 7 pagi.

Allahyarham, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, meninggalkan seorang isteri Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.

Mohd Khusairi, yang menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004, mempunyai latar pendidikan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah bertugas sebagai pegawai akhbar untuk ADUN Sukau, Kinabatangan selama tiga tahun bermula 1988.

Anak jati Perak itu meneruskan kerjaya sebagai penyunting di Suara Bersatu milik Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1990 sebelum dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Sosial Sabah selama setahun pada 1991 selain menyandang jawatan penyunting Majalah Ahli Penyokong Parlimen pada 1995 sehingga 1997.

Penerima anugerah Pingat Pekerti Terpilih Kerajaan Negeri Perak pada 1998 itu juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 2015.

Pada PRU14, Allahyarham mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS.

Slim merupakan antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.