Pemuda Serah Memorandum Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pemuda UMNO hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung saranan agar kerajaan menyegerakan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang melibatkan Tabung Haji.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam catatan facebooknya berkata segala tuduhan salah-laku dan penyelewengan terhadap Kerajaan BN dan PH terdahulu sehinggalah Kerajaan PN kini hanya boleh dirungkaikan melalui penubuhan RCI yang bertindak secara bebas dan berkecuali.

“Malah keyakinan dan kepercayaan rakyat dan umat Islam terutamanya para pendeposit boleh dikembalikan apabila bukan sahaja isu-isu lama dapat diselesaikan malah cadangan-cadangan penambah-baikan digarap sebaiknya oleh pihak RCI yang bakal dibentuk kelak,” katanya.

Tambah Asyraf semoga usaha pergerakan itu berhubung perkara berkenaan akan diberikan perhatian serius oleh pihak Kerajaan PN.

“Saya merakamkan penghargaan kepada YB Senator Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli atas masa yang diperuntukkan hampir sejam setengah mendengar penjelasan kami sekaligus menerima memerandum untuk diangkat kepada YAB Perdana Menteri,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa pihak khususnya Pemuda UMNO sendiri menggesa menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut Asyraf  penubuhan RCI itu penting bagi mencari kebenaran di sebalik pelbagai urusan TH yang diputuskan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Walaupun RCI terhadap TH bukan sebahagian daripada janji Perikatan Nasional (PN), rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus terhadap pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan PH sebelum ini. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.