Jaga Adab Dan Budi Bahasa Di Dewan Rakyat – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 15 Julai – Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula Isnin lalu adalah sidang pertama parlimen sejak perubahan pemerintahan pada awal tahun, dan sejak tiga hari lalu pelbagai perdebatan hangat berlaku antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar semua ahli-ahli Parlimen menjaga adab dan budi bahasa.

“Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun (wasiat Imam Shafie). Juga jadilah insan budiman – berbudi dan beriman. Harap semua YB jaga adab dan budi bahasa di Dewan Rakyat hari ini dan hari seterusnya. Kita memimpin,” katanya yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi kenyataan pendek dalam facebooknya, hari ini.

Terdahulu, pada Februari lalu kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat masalah dalaman dalam gabungan mereka sehinggakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Ekoran itu Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan menerusi persefahaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan BN, PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan pensanitasi tangan serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk Ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.