Zahid Ucap Tahniah, Azalina Individu Yang Amat Layak

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ujarnya dalam satu ciapan di Twitter, bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang pertama itu juga merupakan wanita pertama dipilih ke jawatan tersebut.

“Sebagai seorang pengamal undang-undang dan mantan menteri yang pernah memegang potfolio hal-ehwal Parlimen, beliau amat layak memegang jawatan tersebut,” katanya lagi.

Untuk rekod, persidangan Dewan Rakyat semalam, Azalina dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan pada hari yang sama.

Azalina dipilih memegang jawatan itu mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang diusulkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, usul kerajaan yang dicadangkan oleh Muhyiddin untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan dan kemudiannya mencalonkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua.

Semalam juga, Azalina dalam sidang medianya turut mengucapkan penghargaan kepada Zahid yang bersetuju atas cadangan namanya sebagai Timbalan Speaker.

Ianya juga katanya, membuktikan kerajaan akan terus memperkasa golongan wanita sejajar dengan pelbagai kebolehan dan kepakaran golongan wanita.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azalina juga merupakan wanita pertama di negara ini dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2004 sebelum menerajui Kementerian Pelancongan pada 2008.

Azalina turut berpengalaman mengendalikan hal ehwal Parlimen ketika berkhidmat sebagai Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen Malaysia pada 2013 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2015. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.