Hormati Demokrasi, Majoriti Dewan Rakyat Kepada PN Bukti Tiada Istilah Rampas Kerajaan – Armand

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata tiada istilah rampas kerajaan apabila Perikatan Nasional (PN) mendapat ‘bilangan yang mencukupi’  di Dewan Rakyat dalam memilih calon untuk jawatan speaker dalam Parlimen.

Jelas beliau, PN adalah sebuah kerajaan baharu dan sudah tentu selepas mendapat mandat sebagai kerajaan baharu maka berhak memilih speaker dalam Parlimen.

“Ia jelas menunjukkan majoriti sudah berada di PN sama ada ia ‘slim majoriti’ ataupun ‘big majoriti’ dan itu adalah perkara kedua. Dalam politik ini kalau dikatakan pilihan raya ia tidak ada naib johan… yang ada johan saja.

“Inilah demokrasi berparlimen. Pada pihak pembangkang teruskan budaya pembangkang dan semalam Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad … perangai dia dari jadi menteri sampai sekarang elok duduk di kerusi pembangkang.

“Khalid Samad… teruskan jadi ‘backing dog’ kepada PH. Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pertama sekali dalam sejarah kita seorang Perdana Menteri letak jawatan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Armand lagi, apabila sebuah kerajaan baru telah terbentuk, hormati sistem demokrasi dan sama-sama angkat mandat yang telah diserahkan dalam Dewan Rakyat.

“Jadi… tiada istilah kita rampas kerajaan. Ini semua berlaku kerana kesilapan Tun sendiri apabila hilang keyakinan terhadap PH.

“Pada rakyat di luar sana jangan kita termakan hasutan terhadap permainan politik pakatan pembangkang hari ini yang mengatakan tidak ada sebab, kenapa kita perlu tukar speaker.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia agenda utama kita adalah pemantapan ekonomi dan kestabilan politik. Sama-sama kita berdiri bersama PN,” tegasnya lagi.

Dilaporkan semalam, usul untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun mendapat sokongan majoriti ahli parlimen walaupun mendapat bantahan pembangkang.

usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff dibentangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperolehi 111 undi, sementara dibangkang oleh 109 ahli parlimen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.