Buat Kecoh… Khalid Samad Jadi Ahli Parlimen Pertama Diarah Keluar Dewan

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjadi Ahli Parlimen pertama yang diarahkan keluar oleh Speaker yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun sejurus beliau mengangkat sumpah pada sesi petang persidangan Dewan Rakyat.

Terdahulu sebelum itu berlaku kekecohan dan suasana hangat di dalam Dewan Rakyat sejurus beliau mengambil tempat dan kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Speaker yang baharu.

Azhar yang ketika itu sedang menyampaikan ucapannya, kemudian dilihat mengarahkan Khalid yang berkemungkinan mengganggunya keluar dewan sehingga habis persidangan hari ini.

Kekecohan dan suasana hangat terus berlaku apabila Speaker Dewan Rakyat terus menyampaikan ucapan dan kemudiannya mikrofon terpaksa ditutup bagi membolehkan Azhar menyampaikan ucapan sulung beliau.

Azhar dalam ucapannya berkata beliau percaya ahli-ahli yang berhormat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna demi kebaikan dan kepentingan negara.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menghargai jasa-jasa perkhidmatan sahabat saya Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof kepada Dewan rakyat khasnya dan institusi parlimen amnya.

“Saya berharap agar ahli-ahli yang berhornat dapat memberi kerjasama yang baik kepada saya sepertimana yang telah diberikan Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof sebelum ini agar kita dapat bersama-sama menunaikan tanggungjawab sebagai ahli dewan yang mulia ini dengan adil dan saksama.

“Saya akhiri dengan ucapan terima kasih atas perlantikan saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat , semoga Allah swt mempermudahkan tugas kita bersama dan saya berjanji akan cuba menunaikan tugas-tugas saya dengan saksama sepertimana ikrar yang telah saya lafazkan tadi,” ujarnya.

Tengahari tadi, usul kerajaan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Pada sesi berikut selepas berhenti rehat, Muhyiddin mengusulkan pencalonan Azhar, Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Speaker mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dilaporkan juga, Mohamad Ariff berkata pengguguran beliau daripada jawatannya itu adalah mematuhi perlembagaan negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.