Undi Tak Percaya Gagal Jika Speaker Lama Kalah – Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Julai – “Jika Speaker lama tidak menang, ertinya undi tidak percaya gagal,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini berikutan esok, Isnin ahli Dewan Rakyat akan mula bersidang dan dilaporkan antara usul yang akan dibentangkan adalah pemilihan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan yang baharu.

“Esok Parlimen mula bersidang.

“Speaker baharu akan dipilih. Ada pengundian,” ujar Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam satu hantaran di Facebooknya.

Di dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul sebagaimana yang disiarkan di portal rasmi Parlimen Malaysia, dicatatkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan Yang di-Pertua, Tan Sri Datuk Mohamad Arif Md Yusof mengosongkan jawatannya digantikan dengan Datuk Azhar Harun.

Begitu juga Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan mencadangkan penukaran Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang di-Pertua yang baharu.

Manakala di blok pembangkang, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bekas Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan.

Arif dan Kor Ming adalah Speaker dan Timbalan Speaker yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini, kerajaan PH.

Untuk rekod, Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas bermula 13 Julai hingga 27 Ogos ini iaitu selama 25 hari.

Pagi tadi, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah berjumpa dengan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara BN di PWTC, di sini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.